Sterling mahu ‘buka mata’ Reds

Sterling mahu ‘buka mata’ Reds

LONDON, 20 Nov (Reuters) – Empat bulan selepas meninggalkan Liverpool untuk menyertai Manchester City, Raheem Sterling mendapat peluang pertama untuk membuktikan bahawa keputusannya berpindah ke Etihad adalah tepat apabila bakal melayan kunjungan kelab lamanya itu esok.

Sterling menyertai City sewaktu jendela perpindahan hampir ditutup menerusi bayaran 49 juta pound, namun keputusan pemain tersebut untuk berpindah mendapat kritikan hebat, terutama dalam kalangan penyokong Liverpool.

Malah, hubungan pemain berusia 20 tahun itu dengan Liverpool mulai keruh sebaik sahaja dia menyu­arakan hasrat untuk berhijrah sehingga ejennya Aidy Ward memberitahu bahawa pemain sayap England itu tidak akan menandatangani kontrak baharu di Anfield sekalipun Reds sanggup membayar gaji 900,000 pound seminggu.

Sterling menegaskan, dia tidak pernah menyesal meninggalkan Liverpool dan melihat kepada carta Liga Perdana Inggeris ketika ini telah membuktikan tindakannya adalah tepat.

Ketika ini skuad bimbingan Manuel Pellegrini, City berada di tangga teratas liga, manakala Liverpool yang dibimbing jurulatih baharu, Jurgen Klopp bergelut di kedudukan ke-10.

Sterling ada sesuatu untuk dibuktikan dalam pertemuan menentang bekas kelabnya Sabtu ini selepas empat bulan meninggalkan Anfield. - Reuters
Sterling ada sesuatu untuk dibuktikan dalam pertemuan menentang bekas kelabnya Sabtu ini selepas empat bulan meninggalkan Anfield. – Reuters

Dalam perlawanan di Stadium Etihad esok, City dijangka mendapatkan semula sentuhan penyerang Argentina, Sergio Aguero, David Silva dan Pablo Zabaleta yang baru pulih daripada kecederaan, manakala bintang tengah Samir Nasri yang pada awalnya dijadual beraksi bagaimanapun disahkan terpaksa diketepikan hingga Februari.

Sementara itu, perlawanan Liga Perdana Inggeris lain yang bakal menjadi tumpuan esok adalah pertemuan Arsenal menentang West Brom.

Arsenal masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam enam perlawanan terakhir liga untuk menduduki anak tangga kedua liga, berkongsi 26 mata bersama City tetapi dipisahkan oleh perbezaan gol.

Dalam pada itu, perlawanan melibatkan Manchester United menentang Watford turut menjadi tumpuan kerana pasukan bimbingan Louis van Gaal yang ketika ini berada di anak tangga keempat.

Mereka pasti berkerja keras untuk memburu kelompok tiga terbaik, namun mereka bakal beraksi tanpa penyerang muda Anthony Martial yang mengalami kecederaan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada Selasa lalu.

Leicester City yang gah satu mata di belakang para pemimpin liga, akan berkunjung ke Newcastle United, yang berada satu tempat dan dua mata di luar zon penyingkiran.

Tekanan pengurus Chelsea Jose Mourinho pula semakin bertambah selepas juara Inggeris itu mencatat permulaan hambar dan belum menampakkan tanda-tanda akan pulih.

The Blues, yang akan menjadi tuan rumah kepada Norwich City, telah tewas tujuh daripada 12 perlawanan liga termasuk tiga aksi terakhir dan menduduki tangga ke-16.

Premier League matchday 13