Sterling silap besar

Sterling silap besar

LONDON, 21 Mei – Pemain legenda Liverpool, John Barnes menegaskan Raheem Sterling akan melakukan kesilapan jika dia meninggalkan kelab itu pada musim panas ini.

Sterling diejek beberapa peminat ketika dia menerima anugerah pemain muda terbaik pilihan penyokong pada satu majlis di Merseyside awal pagi semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu membayangkan dia tidak mungkin menerima tawaran Liverpool apabila dia dan ejennya berbincang mengenai masa depannya hujung bulan ini.

Barnes yang menang dua kejuaraan liga, dua Piala FA dan Piala Liga di Anfield antara 1987-97 berkata, adalah terlalu awal buat aset berharga Liverpool itu untuk berpindah.

“Saya fikir dia mempunyai hak jika memilih untuk meninggalkan Liverpool. Saya tidak bercakap kerana marah, tapi dari satu sudut, dia boleh memutuskan apa yang mahu diputuskannya.

Raheem Sterling (kanan) cuba mengatasi halangan pertahanan Crystal Palace, Joel Ward dalam aksi Liga Perdana di Anfield 16 Mei lalu. – AFP
Raheem Sterling (kanan) cuba mengatasi halangan pertahanan Crystal Palace, Joel Ward dalam aksi Liga Perdana di Anfield 16 Mei lalu. – AFP

“Saya fikir satu kesilapan buatnya dari segi perspektif permainan kerana saya tidak fikir dia bersedia berpindah ke City atau Real Madrid atau mana-mana kelab lain, kerana saya fikir dia tidak akan bermain secara kerap.

“Saya tidak fikir ia satu tindakan tepat dari segi bola sepak tapi jika dia memutuskan dan mahu pergi juga, anda tidak boleh mengekalkan pemain yang tidak gembira.

“Aksi Liga Juara-Juara atau tidak bermain secara kerap, adakah kerana semuanya itu? Tidak buat saya, terutama bagi seorang pemain muda.

“Anda sudah lihat Jack Rodwell meninggalkan Everton, pada pendapat saya, terlalu awal dan Scott Sinclair ke City dan di mana mereka sekarang?

“Saya fikir pemain muda perlu mempamerkan satu tahap konsisten dalam tempoh empat atau lima tahun sebelum boleh dinilai sebagai pemain berharga 50-60 juta pound. – Agensi