Sterling: Terima kasih Liverpool

Sterling: Terima kasih Liverpool

LONDON, 15 Julai – Raheem Sterling cuma berdamai dengan Liverpool berikutan perpindahannya ke Manchester City yang memecah rekod pembelian di Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.

Pemain berusia 20 tahun itu muncul pemain Inggeris paling mahal di EPL apabila melepasi ujian perubatan sekali gus menandatangani kontrak selama lima tahun dengan yuran perpindahan dikatakan bernilai sekitar 44 hingga 49 juta pound.

City muncul naib juara EPL pada 2014 di belakang Chelsea dengan Liverpool di tempat keenam sekali gus gagal beraksi dalam kempen Liga Juara-Juara Eropah.

“Lebih banyak pemain berkualiti di sekeliling kamu, lebih banyak kualiti yang kamu boleh tampilkan jadi saya tidak sabar untuk bermula dan beraksi di samping mereka,” kata Sterling.

Perpindahan Sterling ke kelab pencabar EPL itu mencipta kontroversi apabila pemain muda England itu masih memiliki kontrak bersama Liverpool sehingga 2017.

Raheem Sterling bergambar dengan skarf kelab di luar Stadium Etihad Manchester City semalam. – Reuters
Raheem Sterling bergambar dengan skarf kelab di luar Stadium Etihad Manchester City semalam. – Reuters

The Reds cuba untuk menghalang Sterling daripada berpindah dengan menawarkan kontrak gaji 100,000 pound seminggu namun ditolak sekali gus menerima bidaan ketiga Man City.

Sikap Sterling dan kelantangan ejennya Aidy Ward mencetus berang ramai peminat Liverpool malah turut dikritik legenda Anfield, Steven Gerrard.

Begitupun, ketika ditemui semalam, Sterling mengiktiraf beberapa watak utama The Reds termasuk pengendali, Brendan Rodgers yang memainkan peranan besar dalam perjalanan kariernya.

“Ia perjalanan yang panjang dari QPR dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada beberapa orang yang membantu saya sepanjang perjalanan,” kata Sterling.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Rafa Benitez kerana membawa saya ke Liverpool pada usia 15 tahun, ia adalah langkah yang besar buat saya dan juga cabaran baharu.

“Juga kepada Kenny Dalglish kerana menunjukkan kepercayaan kepada saya pada usia yang amat muda. Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Brendan Rodgers kerana memberi saya peluang dan ruang untuk berada dalam pasukan pertama.

“Terima kasih juga kerana memberi peluang kepada saya untuk membuat penampilan utama penuh – menentang City – dan memberikan saya peluang sebenar untuk mengukuhkan tempat dalam pasukan utama dan menunjukkan kepada dunia bakat saya.

Di City, Sterling akan menggunakan jersi bernombor tujuh dan akan bersaing bersama penyerang hebat seperti Sergio Aguero, Wilfried Bony, Edin Dzeko, Samir Nasri, Jesus Navas dan David Silva. – AFP