Stesen JEP bernilai RM12 bilion bermula

Stesen JEP bernilai RM12 bilion bermula

KUALA LUMPUR, 24 Julai – Pembinaan stesen Tenaga Jimah East (JEP) bernilai RM12 bilion dimulakan dengan majlis penuangan konkrit di Jimah, Port Dickson.

Stesen itu berada di tapak strategik dan penting untuk jaminan bekalan tenaga di Semenanjung Malaysia.

Tenaga Nasional Bhd (TNB) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata, dua unit tenaga greenfield yang akan dibina itu akan menambah 2,000 Megawatt (MW) kapasiti penjanaan.

Kapasiti penjanaan itu akan meningkat daripada 22,747.53 MW kepada 25,198.53 MW menjelang akhir 2020.

TNB memiliki 70 peratus projek tersebut melalui pembelian pegangan 70 peratus Edra Global Energy Bhd dalam Jimah East Power Sdn Bhd (JEP) daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) untuk RM46.98 juta pada Julai 2015.

Projek itu sebelum ini dikenali sebagai Project 3B.

Konglomerat Jepun, Mitsui & Co Ltd dan Chugoku Electric Power, satu daripada syarikat utiliti tenaga serantau terbesar Jepun adalah rakan strategik TNB dalam JEP dengan masing-masing memiliki 15 peratus pegangan selebihnya dalam syarikat berkenaan.

Projek JEP itu akan menambah satu lagi stesen berteknologi tinggi, arang batu (mengandungi dua unit tenaga) kepada portfolio penjanaan TNB, di samping memperluaskan portfolio operasi aset penjanaan bernilai tinggi kepada tiga stesen arang batu ‘ultra-supercritical’. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA