Stesen minyak masih diserbu pelanggan

Stesen minyak masih diserbu pelanggan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Julai – Kesibukan di stesen-stesen minyak bukan sahaja berlaku pada awal malam Syawal yang menyaksikan kenderaan beratur panjang hampir di kesemua stesen-stesen minyak di seluruh negara, malah ia dikatakan berlarutan hingga ke Hari Raya ke tiga.

Kini Hari Raya Aidilfitri sudah memasuki hari ketiga dan menurut orang ramai kenderaan masih banyak beratur memenuhi stesen-stesen minyak yang beroperasi.

Salah seorang pemandu, Awang Faiz menceritakan pengalaman yang dihadapinya pada Hari Raya kedua, yang menurutnya keadaan ini tidak seperti biasa yang pernah terjadi pada tahun-tahun sebelumnya, yang menyaksikan masih banyak kenderaan berpusu-pusu menuju ke stesen minyak sehinggakan menghalang aliran trafik beberapa jalan yang mengakibatkan kesesakan lalu lintas.

“Saya tidak sangka saya terpaksa beratur untuk mengisi minyak di Kampung Lambak yang mengambil masa lebih satu jam pada Hari Raya kedua. Seperti tahun-tahun perayaan sebelumnya, keadaan sebegitu tidak berlaku bahkan ia berjalan dengan lancar,” jelas Awang Faiz.

Sementara itu, Shai juga menceritakan keadaan yang sama mengenai situasi tersebut, yang mana beliau melihat banyak kereta bersusun di stesen minyak dan dia terpaksa menunggu begitu lama disebabkan stesen kehabisan minyak dan menunggu bekalan minyak untuk diisi semula.

Stesen minyak di kawasan Menglait pada waktu pagi menyaksikan kenderaan sudah banyak berbaris.
Stesen minyak di kawasan Menglait pada waktu pagi menyaksikan kenderaan sudah banyak berbaris.
Papan tanda menunjukkan bahawa bekalan minyak hijau Ron 97 habis.
Papan tanda menunjukkan bahawa bekalan minyak hijau Ron 97 habis.

“Ini terjadi pada waktu malam Raya kedua,” ujarnya.

Menurutnya, pada Hari Raya pertama keadaan sebegini adalah menjadi kelaziman akan tetapi pada Hari Raya kedua dan ketiga tahun ini, kesibukan tetap berlaku meskipun stesen-stesen minyak beroperasi pada waktu seperti biasa.”

Beliau tertanya-tanya bahawa, apakah punca situasi ini berlaku? “Adakah bekalan penghantar minyak mencukupi pada masa itu atau bilangan kenderaan semakin bertambah di negara ini?”

Mungkin pihak tertentu perlu mengambil inisiatif untuk mengkaji fenomena berkenaan. Kadar tambahan jumlah kenderaan kepada pembekalan minyak juga perlu diambil kira bagi memastikan bekalan minyak mencukupi terutama semasa musim perayaan.

Sementara itu, Syarikat Brunei Shell Marketing Sdn Bhd (BSM) dalam satu kenyataan berkata mereka turut berkongsi kebimbangan orang ramai berhubung laporan mengenai lima kenderaan yang terjejas dengan pencemaran di Stesen Minyak Shell Bunut pada 7 Julai.

Sebaik sahaja menerima laporan mengenai kemungkinan pencemaran berkenaan daripada pelanggan yang terjejas, BSM segera melakukan pemeriksaan dan mengasingkan tangki bawah tanah di stesen berkenaan.

Stesen tersebut menutup pam-pam terjejas serta berhubung rapat dengan pelanggan yang terjejas bagi urusan pampasan mereka.

Satu penyiasatan telah dijalankan untuk mengenal pasti punca berlakunya pencemaran dan insiden tersebut dipercayai adalah insiden berasingan.

Pihak BSM juga memberi jaminan kepada orang ramai bahawa produk mereka telah menjalani pemeriksaan kualiti terlebih dahulu sebelum minyak-minyak dihantar ke stesen-stesen minyak di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA