Stesen satelit bumi Tuaran perlu disiapkan – Madius

Stesen satelit bumi Tuaran perlu disiapkan – Madius

TUARAN, 21 Mac (Bernama) – Pembinaan satelit bumi kedua di sini perlu disiapkan dalam tempoh terdekat sebelum projek satelit negara, RazakSat2, dilancarkan selewat-lewatnya tahun depan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) Datuk Wilfred Madius Tangau berkata stesen bumi itu, yang dibina di kawasan seluas 2.9 hektar dengan kos kira-kira RM27.5 juta, adalah amat penting kerana pelancaran RazakSat2 bergantung kepada persiapan stesen bumi berkenaan.

Beliau berkata stesen bumi itu akan berperanan sebagai pusat kawalan dan perhubungan sistem satelit yang mengorbit bumi di ruang angkasa.

“Pembinaan satelit bumi itu sudah ditenderkan. Stesen bumi itu amat penting bagi memantau satelit negara RazakSat2, yang mudah-mudahan akan dilancar selewat-lewatnya pada tahun depan.

“Ia bakal menjadi satelit kita yang pertama berfungsi memandangkan satelit sebelum ini tidak lagi berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak pembinaan stesen bumi itu di Kampung Laya-Laya di sini, hari ini.

Datuk Wilfred Madius Tangau (dua, kanan) meneliti plan tapak Pusat Sains Negara ketika melawat tapak itu di Kampung Laya-Laya kelmarin. – Bernama
Datuk Wilfred Madius Tangau (dua, kanan) meneliti plan tapak Pusat Sains Negara ketika melawat tapak itu di Kampung Laya-Laya kelmarin. – Bernama

Mengulas lanjut, Madius berkata Tuaran dipilih sebagai lokasi membina stesen itu setelah melihat faktor geografi selain adanya kawasan bersesuaian bagi pembangunan prasarana itu.

Kementerian juga mendapati pembinaan satelit bumi kedua itu tidak menjejaskan pembangunan sekitar malah akan mendorong peningkatan nilai hartanah di kawasan terbabit.

Terdahulu, Madius melawat tapak pembinaan Pusat Sains Negara Sabah di sini, yang akan menjadi lokasi menarik minat dan mempromosi bidang sains, teknologi dan inovasi kepada generasi muda di Sabah.

Pusat sains itu akan dibina selepas agensi seperti Unit Perancang Ekonomi dan Unit Kerjasama Awam Swasta selesai berbincang mengenai beberapa perkara penting termasuk tanah dan kos pembinaan.

Tanah seluas lapan hektar diperlukan bagi membangunkan pusat sains itu, yang dijangka dapat menerapkan beberapa elemen pintar dan futuristik bagi menarik lebih ramai pelajar meminati bidang sains dan inovasi.

“Pembinaan pusat sains ini adalah antara langkah pendidikan sains tidak rasmi kepada masyarakat…bidang ini menyeronokkan dan tidak membebankan, malah mempunyai masa depan cerah,” katanya.