STI dasar perkasa sistem penyampaian

STI dasar perkasa sistem penyampaian

TUARAN, 9 Sept – Semua kementerian dan agensi kerajaan perlu menjadikan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) sebagai dasar bagi memperkasakan lagi sistem penyampaian kepada rakyat, sekali gus menjulang prestij perkhidmatan awam.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata kementerian yakin usaha untuk memacu ekonomi baharu akan bertambah hebat jika STI dijadikan sebagai dasar di semua peringkat kementerian dan agensi kerajaan.

“Kita sudah berada di landasan betul. Apa paling penting ialah melaksanakan STI (di semua kementerian dan agensi kerajaan) dalam memastikan sistem penyampaian perkhidmatan yang berkesan,” katanya kepada pemberita selepas Program Lensa Inovasi Bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini. Program bertemakan ‘Menjulang Prestij Perkhidmatan Awam Melalui Inovasi Berterusan’ itu adalah anjuran Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Kampus Sabah di sini.

Madius berkata Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) adalah sebahagian contoh inovasi diperkenalkan kerajaan yang begitu penting dan amat dialu-alukan bagi menggembleng dasar STI.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau menyampaikan ucapan sempena program Lensa Inovasi anjuran Intan Sabah kelmarin. – Bernama
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Madius Tangau menyampaikan ucapan sempena program Lensa Inovasi anjuran Intan Sabah kelmarin. – Bernama

Dalam perkembangan berkaitan, Madius berkata kementerian amat menekankan pengajaran dan pembelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam usaha melahirkan lebih ramai bakat dalam bidang berkenaan.

“Kementerian sedang membuat dua perkara sekarang untuk memacu dasar STI iaitu Pelan Induk STEM yang mana kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi serta Pelan Induk STI yang dijenamakan sebagai ‘Malaysian Foresight Inisiative (2016-2050)’,” katanya.

Dalam pada itu, Madius berharap kerajaan dapat memberi keutamaan dari segi pengagihan peruntukan dalam hal-hal berkaitan STI. – Bernama