Stigma kesihatan mental perlu diperbetul

Stigma kesihatan mental perlu diperbetul

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Okt – Stigma dalam kalangan masyarakat berhubung kesihatan mental perlu diperbetulkan supaya mereka yang mengalami masalah berkenaan dapat diberikan rawatan awal serta mengelakkan kesan-kesan negatif bukan sahaja kepada pesakit dan juga keluarga, kata Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Haji Zulkarnain bin Haji Hanafi.

Stigma didefinasikan sebagai sesuatu yang hina atau tercemar yang mengasingkan seseorang daripada orang ramai yang lain.

Menurut beliau, budaya di mana stigma dan kehinaan adalah dikaitkan dengan masalah kesihatan mental, menghindari daripada orang ramai untuk mendapatkan pertolongan dan ini akan melambatkan lagi pemberian rawatan kepada mereka yang mempunyai masalah kesihatan mental.

“Prasangka dan diskriminasi yang berterusan adalah antara beberapa perkara yang dilalui oleh seseorang.

“Di seluruh dunia, ramai di antara orang yang mempunyai masalah kesihatan mental sering didiskriminasikan sama ada oleh orang-orang lain ataupun oleh mereka sendiri,” katanya dalam perutusan sempena Hari Kesihatan Mental Sedunia esok.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Zulkarnain berkata, perkara ini boleh membawa pelbagai jangkaan negatif terhadap kesihatan mental kita sendiri dan kemudiannya membuatkan orang ramai untuk berhenti mendapatkan bantuan dan juga menyembunyikannya daripada orang lain lebih-lebih lagi daripada keluarganya sendiri.

“Apabila mereka mendapatkan bantuan pada peringkat lewat, mereka sudah menjadi terlalu tidak sihat sehingga mereka perlu diberikan rawatan perubatan dengan segera. Impak daripada mendapatkan bantuan yang terlambat bukan saja memberi kesan yang besar kepada seseorang individu tetapi juga kepada keluarga dan generasi seterusnya.

“Kesan negatif daripadanya termasuklah hilangnya pendapatan kewangan, tekanan (stress) pada hubungan keluarga, kemerosotan dalam keupayaan untuk menjaga anak-anaknya dan juga beban yang dirasai oleh penjaga-penjaga yang terpaksa menjaga seseorang yang mempunyai masalah kesihatan mental. Oleh itu, stigma dan kesemua kesan daripadanya perlulah diperbetulkan,” jelas beliau.

Hari Kesihatan Mental Sedunia disambut setiap 10 Oktober di seluruh dunia, termasuklah di Negara Brunei Darussalam. Ia adalah hari untuk pendidikan, kesedaran dan advokasi kesihatan mental secara global. Tema pada tahun ini ialah “Kesedaran Kesihatan Mental – Bantuan Pertama Psikologi dan Kesihatan Mental untuk Semua”, adalah amat sesuai dan relevan kerana ia menggalakkan keterbukaan dan kerjasama.

Menurutnya lagi, pelancaran Peraturan Kesihatan/Kesejahteraan Mental dan Kod Amalan di Negara Brunei Darussalam pada 2014 telah sedikit sebanyak menggalakkan orang ramai untuk mendapatkan bantuan profesional.

Ini merupakan mercu tanda yang signifikan bagi perkembangan kesihatan mental di Negara Brunei Darussalam iaitu dalam menangani isu penjagaan, rehabilitasi, kebajikan dan keselamatan individu-individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.

Kementerian Kesihatan, katanya, akan terus berusaha untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan mental dengan menjadikan perkhidmatan tersebut lebih mudah diperoleh, komprehensif, holistik dan sistematik di dalam memenuhi keperluan rawatan dan penjagaan kesihatan mental bagi mereka yang menghadapi masalah kesihatan mental.

Tambah beliau, Kementerian Kesihatan juga percaya bahawa segala usaha yang telah dijalankan di negara ini akan dapat mengurangkan stigma dan diskriminasi kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Dengan ini, diharapkan orang ramai akan lebih terbuka untuk berbincang tentang kesihatan mental dan mendapatkan bantuan daripada ahli-ahli profesional kesihatan mental.

ARTIKEL YANG SAMA