STKRJ Rimba juara bola sepak 7 sepasukan

STKRJ Rimba juara bola sepak 7 sepasukan

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Jun – Pasukan STKRJ Rimba Gadong muncul juara dalam Kejohanan Bolasepak 7 orang Sepasukan Pengawasan Kejiranan 2015, anjuran Unit Pengawasan Kejiranan Balai Polis Pusat Bandar Seri Begawan.

Muncul di tempat kedua ialah daripada Pasukan Kampung Bengkurong B dan tempat ketiga pula ialah Pasukan Balai Polis Pusat B.

Kejohanan yang berlangsung di Stadium Hassanal Bolkiah di Ibu Pejabat Polis Gadong itu berakhir dengan majlis penyampaian hadiah yang disempurnakan oleh, Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Penguasa Polis Mazalan bin Haji Awang Yaakub.

Kejohanan ini dianjurkan bagi membentuk kesedaran diri para anggota Pasukan Polis Diraja Brunei dan ahli Pengawasan Kejiranan supaya sentiasa mengamalkan cara hidup yang sihat dan cergas serta dapat menjalinkan semangat perpaduan dan kerjasama di kalangan masyarakat melalui aktiviti sukan.

Kejohanan ini sengaja dibuka kepada para remaja yang mana mereka adalah pemimpin masa depan dalam penerus inisaitif pasukan bagi memastikan keselamatan persekitaran adalah tanggungjawab bersama.

Sebanyak 10 pasukan turut serta dalam kejohanan ini, iaitu Kampung Bengkurong A, Kampung Bengkurong B, Kampung Rimba Gadong, Kampung Tasek Meradun, Kampung Tungku Gadong, Kampung Katok A, Kampung Katok B, STKRJ Rimba Gadong, Balai Polis Pusat A dan Balai Polis Pusat B.

Turut hadir pada acara tersebut ialah para penghulu dan ketua-ketua kampong Daerah Brunei Muara serta para pegawai dan anggota Daerah Polis Brunei Muara.