Stok minyak sawit Malaysia naik 5.46 peratus

Stok minyak sawit Malaysia naik 5.46 peratus

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Jumlah stok minyak sawit Malaysia pada September 2015 meningkat sebanyak 5.46 peratus kepada 2.63 juta tan berbanding 2.49 juta tan dicatatkan pada bulan sebelumnya, menurut statistik terkini daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Dalam kenyataan hari ini, MPOB berkata stok minyak sawit mentah (MSM) pada September naik 6.68 peratus kepada 1.56 juta tan berbanding 1.46 juta tan sebelum ini. Stok minyak sawit diproses naik sebanyak 3.74 peratus kepada 1.07 juta tan pada September, katanya.

Jumlah pengeluaran MSM susut 4.48 peratus kepada 1.96 juta tan pada September berbanding 2.05 juta tan sebelum ini. MPOB juga berkata eksport biodiesel dan minyak sawit naik pada September 2015.

Eksport biodiesel pada September melonjak sebanyak 93.96 peratus kepada 31,423 tan berbanding 16,201 tan dicatatkan pada bulan sebelumnya. Eksport minyak sawit meningkat 4.36 peratus kepada 1.678 juta tan berbanding 1.608 juta tan pada Ogos, katanya.

Sementara itu, import MSM bagi September merosot 68.68 peratus kepada 8,274 tan berbanding bulan sebelumnya, manakala import minyak sawit naik 15.08 peratus kepada 75,962 tan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA