Stok minyak sawit susut pada Januari

Stok minyak sawit susut pada Januari

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Jumlah stok minyak sawit Malaysia pada Januari 2016 susut 12.38 peratus kepada 2.31 juta tan berbanding 2.63 juta tan dicatatkan pada Disember 2015, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam laman webnya.

Stok minyak sawit mentah (MSM) bagi Januari 2016 merosot 18.28 peratus kepada 1.30 juta tan berbanding 1.59 juta tan dicatatkan pada akhir Disember.

Stok minyak sawit diproses berkurangan 3.35 peratus kepada 1.01 juta tan pada Januari, katanya.

Jumlah pengeluaran MSM turun 19.26 peratus kepada 1.13 juta tan pada Januari berbanding 1.40 juta tan dicatatkan pada bulan sebelumnya.

MPOB juga berkata eksport biodiesel dan minyak sawit jatuh pada Januari 2016.

Kelapa sawit yang dalam perjalanan bagi pemprosesan minyak sawit. – Reuters
Kelapa sawit yang dalam perjalanan bagi pemprosesan minyak sawit. – Reuters

Eksport biodiesel bagi Januari merosot 99.40 peratus kepada 61 tan berbanding 10,004 tan dieksport pada bulan sebelumnya.

Eksport minyak sawit susut 13.82 peratus kepada 1.28 juta tan berbanding 1.48 juta tan dicatatkan pada Disember, katanya.

Sementara itu, import MSM bagi Januari susut 54.0 peratus kepada 7,003 tan berbanding bulan sebelumnya manakala jumlah import minyak sawit berkurangan 56.11 peratus kepada 36,642 tan. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA