Stoke akhiri kemarau kemenangan

Stoke akhiri kemarau kemenangan

STOKE-ON-TRENT, 4 Jan – Stoke City kembali semula ke landasan dengan kemenangan 2-0 ke atas Watford semalam, sekali gus menambah lagi tekanan ke atas pengurus Hornets, Walter Mazzarri.

Ryan Shawcross telah menjaringkan gol pertamanya dalam tempoh dua tahun sebelum separuh pertama berakhir dan Peter Crouch merekodkan jaringannya ke-98 dalam Liga Perdana tidak lama selepas separuh masa kedua bermula di Stadium Britannia.

Ia merupakan kemenangan pertama Stoke dalam enam perlawanan, melonjakkan mereka ke tangga ke-11, di atas Watford yang dilanda senarai panjang kecederaan, dan pengurusnya, Mazzarri kelihatannya berada di bawah tekanan yang semakin meningkat berikutan kekalahan keenam daripada lapan perlawanan terakhir mereka.

Pengurus Stoke, Mark Hughes terus menggunakan tiga pemain pertahanan, dan juga menerima kembali penyerang mereka, Marko Arnautovic daripada penggantungan.

Ryan Shawcross (bawah) membuat terjahan ke atas pemain Watford, Adlene Guedioura bagi merebut bola dalam aksi Liga Perdana di Stadium Britannia. – AP
Ryan Shawcross (bawah) membuat terjahan ke atas pemain Watford, Adlene Guedioura bagi merebut bola dalam aksi Liga Perdana di Stadium Britannia. – AP

Kapten Stoke, Shawcross memecahkan kebuntuan apabila menyambut sepakan sudut Charlie Adam, dan percubaannya ke sudut bawah gawang itu gagal diselamatkan oleh Gomes.

Empat minit selepas separuh masa kedua dimulakan, Stoke menggandakan pendahuluan mereka.

Sekali lagi Adam memainkan peranan apabila membuat hantaran lintang rendah yang tidak disangka melepasi Sebastian Prodl, dan menemui Crouch yang berada di belakang bagi jaringan kedua Stoke. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA