Stoke City sambar Allen

Stoke City sambar Allen

LONDON, 26 Julai – Stoke City akhirnya menyambar perancang tengah Wales, Joe Allen daripada Liverpool dengan perjanjian selama lima tahun untuk yuran perpindahan yang mungkin mencecah 13 juta pound.

Kelab itu dalam kenyataannya berkata, pemain berusia 26 tahun itu, yang memainkan peranan penting dalam kejayaan Wales mara sehingga ke separuh akhir Euro 2016, muncul pemain kedua ditandatangani Stoke pada jendela kali ini selepas tonggak sayap Mesir Ramadan Sobhi menyertai mereka, awal pagi semalam.

“Ia menjadi tempoh 48 jam yang panjang untuk saya tetapi saya sangat gembira kerana akhirnya berjaya menandatangani perjanjian ini,” kata Allen, yang berkhidmat empat musim di Merseyside selepas berhijrah dari Swansea City.

Joe Allen menyarung jersi Stoke City dengan perjanjian dikatakan mencecah 13 juta pound. – AFP
Joe Allen menyarung jersi Stoke City dengan perjanjian dikatakan mencecah 13 juta pound. – AFP

“(Pengurus) Mark Hughes sudah mencapai sesuatu yang hebat di sini… terbukti dan dia meyakinkan saya menyertai kelab ini dengan cita-cita ke depan mereka,” katanya kepada laman web Stoke (www.stokecityfc.com). “Dia juga rakyat Wales, dan saya pasti dia berminat untuk menjalankan kerjasama ini berdasarkan apa yang kami berjaya lakukan di Perancis.

Saya fikir persembahan saya di sana menyebabkan perjanjian ini boleh dimeterai.”

Allen, yang membuat 132 penampilan dan meledak tujuh gol untuk Liverpool, akan menyertai barisan pemain Stoke di Orlando, Khamis ini. – Agensi