Stoke tetap yakin berdepan Reds

Stoke tetap yakin berdepan Reds

LIVERPOOL, 26 Jun – Pengurus Stoke City, Mark Hughes akan turun tanpa kehadiran kapten Ryan Shawcross untuk pertembungan kedua Piala Liga menentang Liverpool, awal pagi esok.

Stoke harus mengatasi defisit tewas 1-0 pada aksi pertama untuk mara ke pentas final di Wembley pada 28 Februari dan menghidupkan peluang mereka memenangi trofi utama sejak menjuarai Piala liga 1972.

“Kami akan bermain bermati-matian esok,” kata Hughes pada sidang media semalam. “Anda sentiasa mengingati final dan separuh akhir Piala Liga kerana keterujaan dan suasananya, dan kami mahu menjadikan malam esok sebagai malam yang tidak boleh dilupakan.

“Mudah-mudahan apabila 10 malam esok (5 pagi waktu Malaysia) kami sudah berjaya ke final pertandingan untuk kali pertama dalam tempoh 40 tahun.”

Shawcross bagaimanapun, tersisih selama tiga hingga empat minggu selepas mengutip kecederaan belakang dalam kekalahan 3-0 kepada Leicester City minggu lalu.

Pertahanan tengah itu sebelum ini baru kembali ke dalam pasukan pada Oktober lalu berikutan pembedahan belakang yang memaksanya berehat panjang.

“Saya amat bersyukur kerana Ryan kerana tidak menerima kecederaan yang sama seperti tahun lalu, tetapi malang sekali dia mengalami masalah otot dan buat masa ini dia terkeluar tiga atau empat minggu,” kata Hughes. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA