Stoner kembali beraksi 2016

Stoner kembali beraksi 2016

SYDNEY, 22 Dis (Agensi) – Juara dunia MotoGP 2015, Jorge Lorenzo percaya Casey Stoner akan kembali ke grid perlumbaan elit jentera dua roda dunia itu sekurang-kurangnya beberapa pusingan pada 2016.

Stoner baru-baru ini kembali bersama Ducati, pasukan yang membuka peluangnya sebagai pelumba MotoGP dan pernah muncul juara dunia pada 2007 sebagai penunggang ujian dan pembangunan buat jentera Desmosedici MotoGP.

“Sudah tentu dia akan mendapat galakan untuk berlumba dengan tiket wildcard dalam beberapa pusingan, saya fikir itu adalah hasrat mereka,” kata Lorenzo.

“Saya fikir dia akan keluar berlumba pada tahun lalu, namun pada akhirnya, di atas beberapa keadaan, dia tidak melakukannya. Dia juga mahu berlumba ketika di Phillip Island atau beberapa litar lain. Saya percaya kita akan dapat lihat dia bertarung, saya fikir untuk kejuaraan.”

Casey Stoner yang pernah menjadi juara dunia Moto GP pada 2007 dan 2011. - Reuters
Casey Stoner yang pernah menjadi juara dunia Moto GP pada 2007 dan 2011. – Reuters

Sejak bersara daripada saingan MotoGP pada 2012, pembabitan Stoner dengan perlumbaan itu terhad kepada lawatan promosi, selain menjadi seorang daripada pelumba ujian rasmi Honda.

Pasukan Honda begitu pun sebelum ini menolak pelawaan Stoner untuk menggantikan tempat Dani Pedrosa pada perlumbaan Grand Prix Amerika Syarikat.

Satu-satunya perlumbaan dua roda yang disertainya pada tahun ini ialah di perlumbaan 8 Jam Suzuka, namun berdepan kemalangan. Stoner begitupun dijangka tidak akan membuat penampilan penuh apabila Ducati tidak memberi sebarang pengesahan mengenai perkara itu setakat ini, malah menegaskan misi pelumba kelahiran Australia itu ialah untuk tidak beraksi pada sebarang perlumbaan.

ARTIKEL YANG SAMA