STPRI juara Pertandingan Gulintangan

STPRI juara Pertandingan Gulintangan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Ogos –Dengan persembahan penuh bertenaga, menarik dan menawan, pasukan dari Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri (STPRI) berjaya menambat hati bukan sahaja penonton tetapi juga para hakim apabila pasukan itu dinobatkan juara Pertandingan Gulintangan Antara Sekolah-sekolah Menengah dan Maktab-maktab Senegara ke-21 yang berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Rimba, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah serta cenderahati kepada para pemenang ialah Pengerusi Lembaga Bandaran, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bin Pengiran Seri Indera Pengiran Haji Ismail.

Pengetua Sekolah Menengah Rimba, Haji Malai Shah Eran bin Syed Haji Yussof dalam kata alu-aluannya menekankan perlunya untuk mempertahankan, mendedahkan dan mengekalkan warisan muzik bangsa dan negara seperti muzik gulintangan di mana bukan sahaja ia boleh diberikan pendedahan di peringkat sekolah menengah sahaja tetapi juga boleh diperkenalkan ke peringkat sekolah rendah.

Beliau percaya dengan pendedahan kepada kegiatan kokurikulum di sekolah-sekolah, golongan pelajar selaku pewaris bangsa negara dan generasi akan datang, mereka tidak akan ketandusan sebarang permainan muzik warisan negara dan bangsa serta juga ia tidak akan menjadi lapuk ditelan zaman.

“Ini merupakan kebanggaan negara kita sebagai negara yang kaya dengan warisan bangsa Melayu kita.”

Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman semasa menyaksikan pertandingan gulintangan.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman semasa menyaksikan pertandingan gulintangan.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman menyampaikan piala juara kepada pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman menyampaikan piala juara kepada pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bergambar ramai dengan johan pertandingan, pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bergambar ramai dengan johan pertandingan, pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bergambar ramai dengan pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Pengiran Dato Paduka Haji Abdul Rahman bergambar ramai dengan pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Pertandingan akhir itu menyaksikan sebanyak 6 buah pasukan beraksi iaitu pasukan-pasukan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan, Sekolah Menengah Rimba, Pusat Tingkatan Enam Meragang, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri dan Sekolah Menengah Rimba II.

Dengan persembahan yang menarik dan penuh tenaga, pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri dinobatkan sebagai juara pertandingan dengan pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di tempat kedua dan pasukan Sekolah Menengah Rimba II di tempat ketiga.

Persembahan penuh bertenaga dari pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Persembahan penuh bertenaga dari pasukan Sekolah Tinggi Perempuan Raja Isteri.
Persembahan dari pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.
Persembahan dari pasukan Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah.

Peringkat saringan bagi pertandingan berkenaan diadakan pada 29 Julai lalu di Dewan Serba Guna Sekolah Menengah Rimba di mana sebanyak 8 buah pasukan bersaing di peringkat saringan dan hasil dari itu, sebanyak enam buah pasukan mara ke pertandingan peringkat akhir.

Pertandingan itu bermatlamat untuk memelihara dan mengekalkan seni budaya keBruneian secara berterusan melalui kegiatan kokurikulum yang beransur kesenian dan kebudayaan di kalangan pelajar, menanamkan semangat cintakan negara dan tradisi kebudayaan orang-orang Brunei di kalangan pelajar, mengembangkan bakat dan memberikan kemahiran kepada mereka dan seni permainan gulintangan serta untuk memberikan peluang yang luas kepada pelajar-pelajar bagi menikmati dan mempelajari irama asli pusaka lama yang berunsurkan kebruneian.

Di samping itu, pertandingan berkenaan dihasratkan bagi mewujudkan sikap semangat kerjasama dalam diri setiap pelajar dan berkeyakinan terhadap kebolehan mereka dan rakan-rakan serta untuk mewujudkan daya kreativiti pelajar mengadun permainan alatan muzik tradisional dan moden yang berbentuk kontemporari.

ARTIKEL YANG SAMA