Strategi amat perlu bangunkan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas

Strategi amat perlu bangunkan tenaga manusia dalam sektor minyak dan gas

KOTA KINABALU, 7 Dis – Strategi untuk membangunkan generasi tenaga kerja yang baharu dalam industri minyak dan gas amat diperlukan bagi menyokong pertumbuhan, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman.

“Kerajaan telah bekerja rapat dengan industri bagi menambah profesionalisme, membangunkan kecekapan dan menyediakan peluang untuk meningkatkan kemahiran,” katanya pada Simposium Membuka Potensi Minyak dan Gas di Sabah di sini hari ini.

Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji keperluan modal insan dalam sektor-sektor kritikal seperti minyak dan gas, kata beliau dalam ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Raymond Tan Shu Kiah, yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri.

Musa berkata, industri minyak dan gas global sedang menghadapi tempoh yang mencabar terutama dengan penurunan harga minyak global dan pertumbuhan pasaran baru muncul yang kurang positif untuk memenuhi permintaan tenaga masa depan.

“Bagi kedua-dua industri dan kerajaan, keadaan ini sudah faktor yang tidak dapat dielakkan bagi mencari strategi dan dasar untuk memastikan prospek jangka panjang industri ini kekal positif,” katanya. – Bernama