Strategi kerajaan tingkatkan ekonomi

Strategi kerajaan tingkatkan ekonomi

Oleh Yusrin Junaidi

 

pg01_160310_MMN-_LogoBANDAR SERI BEGAWAN, 9 Mac – Negara Brunei Darussalam merupakan salah satu negara yang mencapai peningkatan ekonomi terbaik bersama Costa Rica dan Kenya mengikut Laporan Ekonomi Tahunan ke-13, yang diterbitkan oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa.

Negara Brunei Darussalam menduduki tangga ke-84, kenaikan sebanyak 21 anak tangga daripada tahun lepas dengan markah 62.93 pada tahun ini berbanding 58.2 pada tahun lepas.

Peningkatan ini disentuh oleh Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohammad Yasmin bin Haji Umar pada Musim Permesyuaratan ke-12 Majlis Masyuarat Negara, hari ini.

Jelas Yang Berhormat Pehin lagi, strategi utama kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam memudahkan peniagaan di Negara Brunei Darussalam adalah untuk menyediakan prasarana dan alam sekitar yang mudah dan kondusif yang akan dapat menggalakkan lebih ramai lagi usahawan-usahawan untuk menceburi bidang perniagaan sekali gus memperkasa pihak swasta.

Beberapa kementerian dan agensi-agensi kerajaan, ujarnya, telah bekerjasama dalam One Government Approach untuk melaksanakan perubahan-perubahan yang akan memudahkan para peniaga dalam memulakan dan menjalankan perniagaan.

Perkembangan peniaga-peniaga juga akan dipantau dan dibantu oleh pusat produk perusahaan kecil dan sederhana yang baru saja ditubuhkan iaitu Darussalam Enterprise.

Bagi meningkatkan usaha ke arah menjadikan Negara Brunei Darussalam mudah dan murah bagi perniagaan, sekali gus meningkatkan kedudukan negara dalam Ease of Doing Business, kerajaan telah mengambil beberapa langkah seperti menubuhkan commercial code, mengubah perundangan yang lebih pro perniagaan serta memperbaiki proses-proses yang berhubung kait dengan perniagaan, seperti pendaftaran syarikat dengan tempoh sehari dan perniagaan lesen perniagaan bagi sebahagian perniagaan.

Kesemua aktiviti penambahbaikan berkenaan, tekan Yang Berhormat Pehin, adalah usaha diselaraskan di bawah satu mesyuarat skoptik mengenai Ease of Doing Business yang telah ditubuhkan pada tahun 2014 dan dipengerusikan sendiri oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan perdana Menteri.

Beliau menjelaskan, mesyuarat berkenaan bertujuan untuk membentuk arah dan hala tuju pembaikan persekitaran perniagaan dan pada masa yang sama bagi memastikan dan memantau usaha-usaha reformasi dilaksanakan dan diselaraskan dengan baik.

“Alhamdulillah peningkatan dan kedudukan negara dalam Laporan Ekonomi Tahunan ke-13, Ease Of Doing Business 2016, telah dicapai atas berkat kepimpinan dan dorongan Duli Yang Teramat Mulia serta sokongan Kumpulan Champion of Ease Doing Business,” ujarnya.

Menyentuh mengenai keupayaan syarikat tempatan untuk berdaya saing di rantau ini, katanya, kerajaan sedang menyediakan program-program tertentu yang akan disampaikan oleh Darussalam Enterprise Day.

Penyediaan program-program berkenaan akan diterajui oleh pihak swasta yang juga ahli lembaga urus setia Hari Urus Tadbir, supaya ia dapat memberi keutamaan kepada keperluan khusus peniaga-peniaga tempatan.

Yang Berhormat Pehin melahirkan harapan dengan adanya program berkenaan, perusahaan-perusahaan tempatan akan dapat berkembang maju sehingga dapat menembusi pasaran antarabangsa.

ARTIKEL YANG SAMA