Strategi perhutanan dikaji semula

Strategi perhutanan dikaji semula

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Ogos – Negara Brunei Darussalam memberikan penekanan yang penting kepada pemuliharaan hutan negara di mana di peringkat kebangsaan, Brunei terus menerokai manfaat daripada hutan hujan negara yang meliputi lebih separuh kawasan darat negara.

Di samping itu, inisiatif-inisiatif kepelbagaian ekonomi negara juga merangkumi sektor perhutanan yang memberikan tumpuan kepada industri hutan, produk-produk yang bukan berasaskan pokok, cari gali biologi, perdagangan karbon dan penggunaan serta pemprosesan produk hutan secara efisien, kata Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

“Pada masa ini, kami sedang mengkaji semula strategi-strategi perhutanan kebangsaan kami untuk mempromosikan industri-industri hiliran berasaskan hutan kami,” katanya semasa berucap merasmikan Sidang Kemuncak Hutan Hujan Asia Pasifik ke-2 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Beliau berkata lagi, Brunei juga berhasrat untuk memperbaiki lagi suasana industri perhutanan dengan menggalakkan lebih banyak pelaburan swasta dalam teknologi serta peralatan baru untuk meningkatkan keupayaan dan penghasilan nilai tambah bagi produk-produk hutan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, selain daripada ciri alam sekitar, hutan Brunei dipercayai mempunyai potensi ekonomi yang amat meluas di mana indeks biodiversiti hutan Brunei yang tinggi merupakan petunjuk mengenai pelbagai jenis produk bukan berasaskan kayu balak yang masih belum ditemui.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berucap merasmikan sidang kemuncak berkenaan.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berucap merasmikan sidang kemuncak berkenaan.

Oleh itu, penerokaan dan penyelidikan untuk mencari produk-produk hutan yang baru dan asli sedang dikendalikan bersama oleh pihak kerajaan dan para ahli akademik.

Tambah beliau, hutan merupakan sumber yang boleh diperbaharui dan dengan teknologi pemuliharaan yang sesuai, ia boleh menyediakan perkhidmatan dan produk bagi masyarakat secara berterusan.

Beliau berkata bahawa inisiatif kepelbagaian ekonomi perhutanan negara juga adalah selaras dengan strategi-strategi yang diketengahkan oleh Wawasan 2035 iaitu pelan pembangunan negara jangka panjang.

Secara khusus, tambah beliau, pelan itu mengetengahkan usaha berterusan untuk memulihara biodiversiti, hutan hujan dan habitat semula jadi sebagai sebahagian daripada strategi alam sekitar negara serta juga memberikan penekanan kepada pembangunan sumber hutan, pemuliharaan dan perlindungan serta ekopelancongan sebagai fokus utama sektor perhutanan.

Katanya, kira-kira separuh daripada jumlah kawasan tanah negara adalah sebahagian daripada estet hutan kebangsaan dan sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan negara untuk meningkatkan lagi integriti alam sekitar, Brunei juga berhajat untuk meningkatkan lagi estet hutan negara kepada 55 peratus jumlah kawasan tanah negara.

“Dengan realiti dan tanggungjawab ini, sektor perhutanan kami akan mengalu-alukan rakan-rakan kongsi dari sektor kerajaan dan swasta bagi pengurusan mapan hutan dan sumber hutan kami.” Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, pemikiran kreatif dan keusahawanan sektor swasta amat diperlukan untuk membangunkan industri berasaskan hutan negara di mana kerjasama yang dilaksanakan bersama dalam bidang penyelidikan dan ekspedisi yang dijalankan adalah untuk meningkatkan kefahaman mengenai hutan dan mempelajari mengenai produk baru yang boleh membawa manfaat kepada masyarakat moden.

“Kami percaya dalam keupayaan hutan hujan kami untuk mengasingkan karbon dengan pihak kami terus membuka ruang untuk mempelajari lanjut mengenai hutan kami dalam mengurangkan gas rumah hijau.”

Beliau berkata lagi bahawa dengan semua strategi pembangunan dalam sektor perhutanan itu, pihak kerajaan terus berjaga-jaga mengenai dengan penyebab penebangan hutan yang dikenal pasti.

Dalam hubungan itu, beliau berkata, pihaknya mengawal penebangan hutan dan mengawal selia pertukaran hutan bagi tujuan pertanian.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali berkata, kegiatan penebangan hutan bagi pembangunan pertanian telah dihentikan dan tumpuan inisiatif pertanian negara adalah kepada meningkatkan kadar produktiviti di mana ia akan meningkatkan kadar pengeluaran per hektar yang diunjurkan.

ARTIKEL YANG SAMA