Strategi permainan DPMM FC perlu lebih agresif – Steve

Strategi permainan DPMM FC perlu lebih agresif – Steve

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Julai – Meskipun berjaya menumpaskan pasukan Warriors FC semalam dengan jaringan 4-0, Steve Kean Ketua Jurulatih Brunei DPMM FC menegaskan masih kurang berpuas hati dengan persembahan babak pertama perlawanan itu semalam.

Beliau mengulas perkara itu di dalam sidang media sejurus selepas perlawanan berkenaan di Stadium Jalan Besar dan menegaskan ia bukan hanya semalam sahaja malah sama dengan persembahan ketika mereka tumpas di tangan Ceres La Salle di dalam kejohanan Piala Singapura dua minggu lalu.

“Kami mengambil masa 43 minit untuk memecahkan kebuntuan meskipun banyak mencipta peluang di babak pertama dan pada saya kelemahan besar kita kini adalah bahagian serangan dan penyudah,” tegasnya.

Menurutnya lagi para pemain hilang tempo dalam hantaran dan permainan pada babak pertama dan terpaksa merombak taktik pasukan pada babak kedua dengan menambah jumlah bahagian untuk memberikan impak kepada bahagian serangan.

“Sergio banyak membuat gerakan baik dan beliau berjaya sehingga membolosi gawang Warriors FC untuk memberikan suntikan kepada rakan sepasukan untuk lebih giat menyerang,” tegasnya lagi kepada media.

Menurutnya lagi setakat ini Brunei DPMM FC melalui musim yang mencabar namun menegaskan pasukannya itu menunjukkan peningkatan dan menegaskan komitmen seluruh warga Brunei DPMM FC untuk memenangi Piala Liga Singapura yang kini menjadi rebutan itu buat kali ke-4.

Beliau menurunkan Wardun Yussof, Rosmin Kamis, Yura Indera Putra, Brian McLean, Helmi Zambin, Maududi Kasmi, Azman Salleh, Najib Tarif, Adi Said, Rafael Ramazotti, Paulo Sergio dan memasukan Hendra Azam pada minit ke-81.