Strategi tangani IS dibidas

Strategi tangani IS dibidas

WASHINGTON, 9 Julai (AFP) – Senator Amerika Syarikat (AS), John McCain kelmarin membidas strategi tentera negara itu menentang kumpulan militan Negara Islam (IS) dengan menggambarkan AS semakin tewas dalam peperangan tersebut.

Beberapa wakil rakyat termasuk McCain yang bertanding untuk menjadi calon Parti Republikan pada pilihan raya Presiden 2016 menghentam Setiausaha Pertahanan, Ashton Carter dan ketua tentera, Jeneral Martin Dempsey kerana kelemahan menangani isu IS dan Ukraine.

“Tiada sebab munasabah untuk percaya bahawa semua yang kita lakukan (Washington) cukup untuk mencapai sasaran yang sudah lama dinyatakan oleh Presiden Obama iaitu untuk melemahkan dan akhirnya memusnahkan IS sama ada dalam jangka masa pendek atau pun mahupun jangka panjang.

“Kaedah dan tahap usaha kita sekarang tidak sejajar dengan sasarannya. Ini menunjukkan kita bukan ke arah kemenangan dan apabila kamu tidak menang dalam peperangan, kamu tentu kalah,” kata McCain semasa mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Senat bagi Perkhidmatan Tentera.

Perdebatan hangat itu menyusul sehari selepas Presiden Barack Obama berucap di Pentagon dan menyatakan tentera sekutu pimpinan AS yang menentang IS sedang ‘menyemarakkan’ kempennya terhadap kumpulan militan di Syria itu.

Obama bagaimanapun mengingatkan perang menentang kumpulan militan tersebut akan mengambil masa yang panjang.

Namun, McCain melihat pendekatan Obama sukar untuk meraih kejayaan dan menyifatkan dakwaan kejayaan oleh Presiden AS itu sebagai memperdaya diri sendiri.

Obama memaklumkan lebih 5,000 serangan udara telah dilaksanakan terhadap IS yang membunuh beribu-ribu anggotanya kecuali komander-komander utama kumpulan itu.

Sejak beberapa hari lalu, tentera pakatan telah menghujani IS dengan siri serangan udara besar-besaran, khususnya ke atas bandar Raqa yang menjadi ‘ibu negara’ kumpulan itu di Syria.