Street Rol, Easyway bertembung di separuh akhir

Street Rol, Easyway bertembung di separuh akhir

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Julai – Pasukan JCMK terpaksa akur dan melihat lawannya Street Rol untuk mara ke peringkat separuh akhir dan bakal menentang Pasukan Easyway pada 23 Julai 2016 ini nanti.

JCMK yang memerlukan kemenangan pada perlawanan semalam dengan baki satu perlawanan menentang Pasukan Han Kook Tyre hari ini terpaksa menerima kekalahan di tangan Street Rol.

Sementara itu hari ini Pasukan Juramas pula menyusuli Pasukan EasyWay dalam kumpulan B dan akan menentang Pasukan D’Sunlit yang menjuarai kumpulan A Piala Speedsend yang diadakan bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-70 Tahun 2016 Sabtu nanti.

Manakala dua perlawanan berlangsung pada hari terakhir peringkat kumpulan hari ini yang menyaksikan Pasukan JCMK menang ke atas Pasukan Han Kook Tyre di dalam kumpulan A dan dalam kumpulan B pula Pasukan Juramas menewaskan Pasukan Baotime.

Menurut pengurus Pasukan Easyway, Wira Pori menegaskan kejohanan kali ini adalah yang dinanti-nantikan dan setakat ini kejohanan kali ini sememangnya mencapai kepada harapan setiap pemain yang terlibat.

Menurutnya lagi, meskipun tertinggal di dalam perlawanan pasukannya baru-baru ini, baginya ia adalah hasil usaha dan kerja keras setiap pemain yang menunjukkan semangat juang yang tinggi terutama kepada pemain tempatan yang berusaha sama dengan pemain import yang lain.

“Malam ini kami mungkin sedikit kurang pada pertahanan, namun dua minit terakhir merupakan suatu yang sangat saya puji dan kami akan terus berusaha di peringkat separuh akhir nanti untuk meneruskan perjalanan kami pada kejohanan kali ini,” ujarnya lagi.