Struktur bangunan konkrit perlu kukuh, berdaya tahan

Struktur bangunan konkrit perlu kukuh, berdaya tahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 Mei – Bagi memberikan peluang kepada jurutera tempatan untuk mengetahui kod reka bentuk seismos terkemuka di dunia, Program Kejuruteraan Awam dan Pejabat Perhubungan Industri Universiti Teknologi Brunei (UTB), bersama Fyfe Borneo Sdn Bhd telah menganjurkan seminar mengenai ‘Pengukuhan Seismik Struktur Bangunan Konkrit’ yang berlangsung di Teater Kuliah 2, UTB, hari ini.

Menurut kenyataan yang keluarkan, seminar yang dihadiri oleh kakitangan kejuruteraan dan pelajar dari UTB serta para pengamal industri itu menampilkan Dr. Basem Abdullah, yang merupakan seorang pemaju dan pengasas kaedah pengukuhan seismos bagi rumah tradisional yang pertama di Jepun yang diperkuatkan dengan bahan gentian plastik (FRP).

Dalam ceramahnya, Dr. Basem Abdullah telah memberikan pengenalan umum mengenai pembangunan Kod Reka Bentuk Seismos dalam pembinaan di Jepun, sebuah negara yang mempunyai aktiviti seismos yang aktif dan mempunyai beberapa standard pembinaan gempa bumi yang paling ketat di dunia.

Dr. Basem Abdullah semasa seminar yang dianjurkan.
Dr. Basem Abdullah semasa seminar yang dianjurkan.

Seminar itu turut memberikan peluang kepada jurutera tempatan untuk mengetahui beberapa siri aktiviti seismos di Sabah dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Konsep untuk meningkatkan kapasiti seismos dalam pembinaan melalui kaedah dan sistem yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa Jepun juga dibincangkan dalam seminar tersebut.

Dr. Basem Abdullah juga merupakan Profesor Madya Kejuruteraan Struktural di Institut Teknologi Hiroshima, Hiroshima, Jepun dari tahun 2001 hingga 2007 dan pelopor kepada pembangunan baru dari segi bahan dan teknik dalam membaiki dan memperkukuh infrastruktur yang telah usang.

ARTIKEL YANG SAMA