Struktur kukuh sebar maklumat

Struktur kukuh sebar maklumat

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Ogos – Rombongan delegasi dari Malaysia seramai lima orang berada di negara ini bagi mengikuti Pertukaran Pegawai Perhubungan Awam Malaysia ke Brunei bagi Program Kerjasama kedua-dua buah negara ini dalam bidang penerangan, selama lima hari bermula 5 Ogos.

Pertukaran Pegawai Perhubungan Awam ini merupakan kesinambungan dari tahun-tahun sebelumnya, yang mana ia merupakan antara usaha meningkatkan hubungan serantau selain meningkatkan dari segi pengetahuan yang berkaitan dengan fungsi dan peranan di kalangan pegawai penerangan terutama bidang perhubungan awam.

Perkara ini dijelaskan oleh ketua rombongan dari Malaysia, Ketua Penolong Pengarah Komunikasi Jabatan Perkhidmatan Awam, Malaysia, Jaafar Jantan semasa ditemui sejurus selesai mengadakan kunjungan hormat kepada Pemangku Pengarah Penerangan, Awang Mawardi bin Haji Mohammad, di Bangunan Baru Jabatan Penerangan, Lapangan Terbang Lama Berakas, hari ini.

Jaafar Jantan menjelaskan, kedua-dua buah negara dapat bertukar-tukar pandangan dan idea cara meningkatkan konteks maklumat secara langsung kepada masyarakat di samping membentuk masyarakat bermaklumat melalui kaedah hebah dan kaedah perjumpaan bersemuka.

Ketika mengulas lanjut mengenai hasil kunjungan hormat bersama Pemangku Pengarah Penerangan Brunei, beliau mengatakan, “dalam keadaan hari ini terdapat konteks media baru yang mana menimbulkan pelbagai cabaran yang perlu diatasi dan di sinilah Negara Serantau di peringkat ASEAN diperlukan”.

Rombongan delegasi dari Malaysia menghadiri sesi taklimat dan bersama pegawai dan pengamal perhubungan awam kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan.
Rombongan delegasi dari Malaysia menghadiri sesi taklimat dan bersama pegawai dan pengamal perhubungan awam kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan.

Melalui hasil perkongsian maklumat itu, kita dapat melihat impak yang cukup besar terutama dari segi perlaksanaan menyebarkan maklumat melalui pelbagai kaedah.

“Ke arah ini, perlunya ada satu struktur yang kukuh bagi berperanan untuk menyebarkan maklumat sama ada di peringkat kementerian dan agensi kepada masyarakat,” tambahnya lagi. Semasa kunjungan itu, rombongan juga berpeluang mendengarkan taklimat mengenai Peranan Jabatan Penerangan di ruang lain bangunan baru jabatan berkenaan yang disampaikan oleh Awang Mohammad Hisyam bin Idris.

Program tersebut turut diisi dengan sesi permuzakarahan bersama pegawai dan pengamal perhubungan awam kementerian-kementerian dan jabatan kerajaan di negara ini.

Sepanjang berada di Negara Brunei, rombongan juga berpeluang mengadakan lawatan ke agensi kerajaan dan swasta seperti Jabatan Radio Televisyen Brunei, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMC) dan Ibu Pejabat DST Communication untuk mendapat pendedahan peranan agensi berkenaan dalam menyalurkan maklumat kepada orang ramai dan media.

Program ini merupakan kali kedua Negara Brunei Darussalam menjadi tuan rumah selain ia juga merupakan projek yang telah dipersetujui di bawah Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Penerangan antara kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang DiPertuan Negara Brunei Darussalam yang telah ditandatangani pada Disember 2010 di Negara Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA