STS anjur Aktiviti Jelajah Papan Luncur STS

STS anjur Aktiviti Jelajah Papan Luncur STS

Oleh Anwar Rosly

 

KUALA BELAIT, 13 Sept – Syarikat SmellTheStreet (STS) baru-baru ini mengadakan Aktiviti Jelajah Papan Luncur STS yang pertama dengan membuat penjelajahan ke Daerah Tutong dan Brunei-Muara, bermula dari Daerah Belait di sini.

Dalam temu bual bersama Media Permata, Penyelia dan Krew STS, Pengiran Putera Hidayatullah bin Pengiran Ali berkata, tujuan aktiviti tersebut adalah untuk menyatukan ‘skaters’ atau para pemain dan peminat hobi papan luncur terutamanya dari daerah ini dan Tutong untuk beramah mesra dengan ‘skaters’ dari Daerah Brunei Muara dan terbuka bagi yang ingin bermain papan luncur beramai-ramai bersama kalangan pemain yang lain sekali gus bertukar pandangan serta mempelajari kaedah terbaik permainan papan luncur.

“Mereka semua mula berkumpul di STS dan berangkat ke Daerah Tutong menggunakan sebuah bas sewa khas, di mana mereka kemudiannya pergi ke Yayasan untuk bermain papan luncur di sana sambil menunaikan solat Zuhur berjemaah. Selepas makan tengah hari mereka pergi ke ‘Skatedium’ berdekatan Stadium Sultan Haji Hassanal Bolkiah di Serusop untuk bertemu ramah bersama ‘skaters’ yang lain,” jelasnya.

Sesi bergambar ramai para peserta Aktiviti Jelajah Papan Luncur STS.
Sesi bergambar ramai para peserta Aktiviti Jelajah Papan Luncur STS.

Menurutnya, objektif utama aktiviti tersebut diadakan adalah untuk mengeratkan silaturahim sesama ‘skaters’ yang lain selain mengisi masa lapang para belia di negara ini untuk sama-sama beriadah serta mengelak melakukan perkara tidak berfaedah dan mengisi waktu lapang di musim cuti sekolah ini.

Di samping itu, jelajah ini juga dapat membantu beberapa pengusaha muda tempatan yang menjual produk hasil tempatan di mana mereka membuat promosi berkaitan jelajah ini melalui media sosial seperti Facebook dan Instagram.

“Alhamdulillah, ramai ibu bapa yang bersetuju dengan acara yang diadakan ini setelah mendapat kebenaran daripada mereka,” tambah Pengiran Putera lagi sambil menambah ia juga bagi menarik lebih banyak pendaftaran.

Sempena aktiviti itu, STS turut membuat cabutan bertuah dengan menghadiahkan GoPro Hero kepada salah seorang pemain luncur.

ARTIKEL YANG SAMA