Studyrama 2016 dirasmi

Studyrama 2016 dirasmi

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN,14 April – Pelbagai pilihan hala tuju bagi para pelajar untuk meneruskan pengajian atau menceburi kerjaya yang mencabar disediakan untuk mereka selepas menamatkan pengajian mereka.

Dalam usaha untuk memberikan mereka pendedahan serta maklumat mengenai pilihan-pilihan kerjaya dan hala tuju untuk melanjutkan pengajian mereka, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah (Maktab Duli) telah mengadakan pameran pengajian tinggi dan kerjaya, Studyrama 2016 bagi para pelajar maktab berkenaan yang berlangsung di Auditorium, maktab berkenaan, hari ini.

Pameran Studyrama yang merupakan salah satu kaedah untuk mengetengahkan pilihan kepada para pelajar terutama kepada pelajar-pelajar Pra-U itu dianjurkan oleh Unit Pengajian Tinggi Maktab Duli dan dirasmikan oleh Penolong Pengarah dan Ketua Unit Kaunseling dan Kerjaya, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Ali Yusri bin Abdul Ghafor.

Pameran itu disertai oleh seramai 27 buah agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi dan sektor swasta termasuk Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan, Jabatan Ukur, Kementerian Pertahanan, Polis Diraja Brunei, Brunei Gas Carrier, Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan Universiti Teknologi Brunei (UTB).

Haji Ali Yusri ketika menerima penerangan daripada peserta salah sebuah agensi kerajaan yang menyertai Studyrama 2016.
Haji Ali Yusri ketika menerima penerangan daripada peserta salah sebuah agensi kerajaan yang menyertai Studyrama 2016.
Pameran-pameran daripada pelbagai agensi yang mengambil bahagian dalam Studyrama 2016.
Pameran-pameran daripada pelbagai agensi yang mengambil bahagian dalam Studyrama 2016.

Pameran tersebut antara lain memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai peluang-peluang pengajian tinggi atau kerjaya yang terdapat di dalam dan luar negara, memberikan gambaran kepada para pelajar untuk membuat hala tuju kerjaya berdasarkan kepada mata pelajaran dan bidang yang diminati mereka khususnya yang menumpukan kepada kejuruteraan, perniagaan dan kewangan, industri minyak dan gas serta industri kesihatan.

Ianya dihasratkan dapat memberikan motivasi kepada para pelajar untuk menumpukan kepada pelajaran mereka menerusi pengurusan yang efektif supaya mereka dapat dibimbing secara teratur terhadap pilihan kursus-kursus di pengajian tinggi.

Menerusi pameran itu, para pelajar juga akan mendapat gambaran yang lebih mendalam mengenai dengan pelbagai peluang yang ada terutama berhubungan dengan kursus-kursus dan biasiswa yang ditawarkan oleh sektor kerajaan dan bukan kerajaan serta membolehkan mereka membuat keputusan yang terbaik mengenai dengan hala tuju kerjaya termasuk tempat-tempat pengajian berpotensi di dalam dan luar negara.

ARTIKEL YANG SAMA