Sturridge kembali

Sturridge kembali

LONDON, 19 Nov (Reuters) – Penyerang Daniel Sturridge kembali menjalani sesi latihan penuh sekali gus membuatkan dia semakin hampir untuk kembali mengisi senarai kesebelasan utama di bawah kendalian jurulatih Juergen Klopp apabila Liverpool dijadualkan menentang Manchester City, Sabtu ini.

Pemain antarabangsa England itu yang kerap dilanda masalah kecederaan, terlepas aksi awal musim ini gara-gara cedera di pinggul dan hanya diturunkan pada tiga perlawanan sebelum kehadiran Klopp.

Kecederaan lutut ketika berlatih memaksa Klopp mengetepikannya pada perlawanan pertama pengendali itu iaitu menentang Tottenham Hotspur pada 17 Oktober lalu dan pembentukan cecair di tempurung lututnya menghalangnya untuk terus beraksi.

Klopp, berdepan masalah kecederaan berterusan, termasuk yang menimpa pemain pertahanan Joe Gomez dan penyerang Danny Ings, dan dijangka sudah boleh menurunkan semula James Milner dan Jordon Ibe untuk pertemuan menentang City.

Milner tidak bermain ketika pasukannya tewas 2-1 di tangan Crystal Palace – kekalahan pertama Klopp selaku pengurus Liverpool – gara-gara masalah hamstring manakala Ibe pula tidak turun menjalani latihan minggu lalu akibat cedera di lutut tetapi kedua-duanya sudah kembali berlatih Isnin lalu.

Sturridge tidak beraksi pada perlawanan kompetitif sejak 4 Oktober lalu dan keadaannya terus dipantau skuad perubatan Liverpool bagi memastikan dia kembali cergas menjelang pertemuan menentang City.

Keputusan sama ada namanya disenaraikan atau sebaliknya akan hanya ditentukan pada saat akhir.

ARTIKEL YANG SAMA