Sturridge: Kurang pengalaman bukan penghalang

Sturridge: Kurang pengalaman bukan penghalang

LONDON, 8 Jun – Penyerang Liverpool, Daniel Sturridge menegaskan betapa kekurangan pengalaman bermain di laman antarabangsa tidak menjadi halangan buat skuad England dalam kempen Euro 2016.

Skuad The Three Lions bakal berdepan Rusia pada aksi pertama di Marseille, Perancis, Ahad ini.

Pada perlawanan itu, Roy Hodgson dijangka menyenaraikan trio Tottenham Hotspur, Eric Dier, Dele Alli dan Harry Kane dalam kesebelasan utama dengan semua pemain itu belum pernah beraksi di kejohanan besar.

Pemain seperti Nathaniel Clyne (Liverpool), John Stones (Everton) dan Ryan Bertrand (Southampton) memiliki sedikit pengalaman dan penyerang Manchester United, Marcus Rashford hanya membuat penampilan pertama ketika menentang Australia bulan lalu.

Sturridge yang hanya tampil 18 kali sejak penampilan antarabangsa pertama pada 2011 dianggap senior dalam skuad muda berkenaan.

Daniel Sturridge ketika ditemu bual oleh pihak media di kem latihan England. – AFP
Daniel Sturridge ketika ditemu bual oleh pihak media di kem latihan England. – AFP

Hanya empat pemain berusia lebih 30 tahun dan lapan pemain beraksi kurang daripada 10 perlawanan antarabangsa.

Namun Sturridge menjelaskan betapa tiada kebimbangan buat skuad England yang cuba memenangi Euro buat kali pertama.

“Saya tidak lihat kenapa kami tidak boleh berjaya hanya kerana kami skuad muda. Paling penting adalah bagaimana kami bermain sebagai satu pasukan,” kata Sturridge.

“Ini adalah skuad muda dan ia adalah kelebihan bukan kelemahan. Kami sedar ramai mata yang memerhati kerana kami adalah skuad England.

“Saya tidak merasai apa-apa tekanan terhadap kami. Saya rasa kami lebih gembira ketika ini.

“Jika anda melihat kepada Manchester United, Liverpool dan semua kelab di dunia ini yang memiliki skuad muda, mereka mengharungi saat yang baik dan berjaya.” – Agensi