SU Katok ‘A’ anjur Minggu Mata Pelajaran

SU Katok ‘A’ anjur Minggu Mata Pelajaran

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Sekolah Ugama Katok ‘A’ buat julung-julung kalinya menganjurkan Minggu Mata Pelajaran yang melibatkan lapan mata pelajaran yang akan dijalankan selama lapan minggu secara berasingan mengikut jadual mingguan yang telah ditetapkan sepanjang tahun ini.

Sehubungan itu, sekolah berkenaan baru-baru ini telah mengadakan Majlis Perasmian Minggu Mata Pelajaran Bacaan Jawi sebagai pembuka tirai kepada Minggu Mata Pelajaran yang diadakan di dewan sekolah berkenaan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa yang dipimpin oleh Awang Khairul Amin bin Haji Abdul Kadir, disusuli dengan ucapan alu-aluan oleh Guru Besar sekolah berkenaan, Dayang Nurhasnah binti Haji Zainal.

Majlis diikuti dengan ucapan oleh Pegawai Pengajian Islam Daerah Brunei 3, Awang Mohd Zamery bin Haji Nayan yang diselajurkan dengan pembukaan rasmi majlis di bawah kendalian Ahli Jawatan Kuasa Minggu Mata Pelajaran sekolah berkenaan.

Ia diteruskan dengan ceramah khas yang disampaikan oleh penceramah undangan, Haji Mohd Shahrol Azmi bin Haji Abdul Muluk, yang merupakan Pensyarah Pusat Ilmu Teras, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB).

Persembahan nasyid oleh pelajar semasa perasmian Minggu Mata Pelajaran Jawi.
Persembahan nasyid oleh pelajar semasa perasmian Minggu Mata Pelajaran Jawi.

Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid yang bertajuk ‘Eja Jawi’ oleh murid-murid rendah bawah sekolah tersebut di bawah pimpinan Dayang Mariam binti Haji Marsidi.

Ia diakhiri dengan lawatan ke petak aktiviti yang dibahagikan kepada enam petak berasingan mengikut peringkat darjah masing-masing bagi menyaksikan aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh semua murid sekolah dari darjah pra hingga darjah enam. – Hasrulraizan