SU YSHHB rai murid Darjah 6

SU YSHHB rai murid Darjah 6

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Sept – Sekolah Ugama Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), hari ini, telah mengadakan Majlis Khatam Al-Quran bagi murid-murid Darjah 6 yang berlangsung di Dewan Serba Guna Sekolah YSHHB.

Hadir selaku tetamu khas ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, selaku Pengerusi Lembaga Tadbir sekolah itu.

Turut berangkat ke majlis berkenaan ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah serta Yang Amat Mulia Pengiran Maharaja Setia Laila Diraja Sahibul Irshad Pengiran Anak Haji Abdul Rahim.

Antara peserta khatam yang turut diraikan ialah cucunda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, iaitu Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh tetamu khas majlis dan disusuli dengan bacaan surah-surah khatam bermula dari Surah Ad-Duha hingga Surah Al-Lahab oleh para peserta khatam.

YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Rahim turut berangkat ke majlis khatam berkenaan.
YTM Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan YAM Pengiran Anak Haji Abdul Rahim turut berangkat ke majlis khatam berkenaan.
YAM Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib antara yang diraikan dalam majlis berkenaan.
YAM Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib antara yang diraikan dalam majlis berkenaan.

Sebaik selesai bacaan surah khatam, majlis diteruskan dengan bacaan takhtim oleh gabungan murid perempuan berserta guru perempuan sekolah berkenaan manakala doa khatam dibacakan oleh salah seorang peserta khatam, iaitu Awang Wan Muhammad Hafiy bin Wan Habib.

Di majlis itu, Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Puteri Hajah Rashidah Sa’adatul Bolkiah berserta Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Abdul Rahim merenjis minyak harum kepada Yang Amat Mulia Pengiran Anak ‘Abdul Raqiib dan para peserta khatam yang lain.

Majlis kemudiannya disusuli dengan penyampaian sijil khatam yang disempurnakan oleh tetamu khas majlis dengan diiringi oleh Dikir Marhaban daripada gabungan murid lelaki dan guru lelaki sekolah berkenaan.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Guru Besar SU YSHHB, Awang Azmirul bin Haji Haris, selaku Pengerusi Majlis berkata, majlis itu merupakan sebahagian daripada projek tahunan sekolah di bawah kawalan Unit Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan telah diadakan sejak 1985.

Sehingga 2015, sekolah tersebut berjaya mengkhatamkan seramai 55 murid yang terdiri daripada 44 murid lelaki dan 11 murid perempuan dengan tujuan utama untuk menggalakkan murid sentiasa mendampingi Al-Quran melalui pembacaan dan penghayatan.