Suami lari, isteri dan anak dibiarkan dalam sungai

Suami lari, isteri dan anak dibiarkan dalam sungai

YAN, 19 Jan – Seorang lelaki warga Myanmar sanggup meninggalkan isteri dan anak damit perempuannya dalam sungai bagi mengelak ditahan anggota Imigresen yang melakukan operasi di sebuah tapak pembinaan di Tanjung Dawai, di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.30 tengah hari itu, wanita dan anak damitnya yang berusia setahun itu gagal menyeberangi sungai yang terletak bersebelahan tapak pembinaan berkenaan disebabkan paras air yang agak dalam.

“Saya takut bila nampak Imigresen dan semua orang lari terjun sungai. Saya dukung anak dan ikut terjun dengan suami. Tapi saya tak berani nak berenang kerana bimbang keselamatan anak,” kata wanita itu yang hanya mahu dikenali sebagai Suda.

Wanita berkenaan yang masuk ke negara ini tanpa dokumen sah mendakwa telah tinggal bersama suami di negara ini sejak setahun lepas dan turut bekerja di tapak pembinaan itu.

Dia berada dalam sungai berkenaan sambil mendukung anaknya kira-kira 30 minit sebelum diselamatkan bot nelayan yang melalui kawasan itu dan kemudian diserahkan kepada anggota Imigresen.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata pihaknya menahan 13 lelaki dan seorang wanita Indonesia, 18 lelaki dan empat wanita Myanmar serta 15 lelaki dan seorang wanita Bangladesh berumur antara 26 dan 67 tahun.

Beliau berkata turut ditahan empat kanak-kanak lelaki dan tiga budak perempuan Myanmar berusia antara 1 dan 11 tahun.

Mohamad Yusri berkata seorang lelaki tempatan berusia 26 tahun dipercayai penyelia tapak projek itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

“Sembilan warga asing lagi ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas,” katanya ketika ditemui hari ini. – Bernama