Suarez bakal berdepan hukuman

Suarez bakal berdepan hukuman

BARCELONA, 8 Jan (AFP) – Penyerang Barcelona, Luis Suarez berdepan kemungkinan digantung tiga perlawanan Piala Raja Sepanyol selepas kata-katanya dipetik dalam laporan pengadil didapati menghina pemain Espanyol dengan kata-kata ‘suatu pembaziran ruang’ pada penghujung perlawanan tetangga Catalan itu.

Barca memenangi perlawanan pertama peringkat 16 terakhir Piala Raja Sepanyol itu dengan keputusan 4-1, awal pagi tadi dengan dua pemain Espanyol, diarahkan keluar padang selepas dilayangkan kad merah.

Keadaan Espanyol boleh bertambah parah namun tindakan penjaga golnya, Pau Lopez yang memijak kaki Lionel Messi tidak dilihat pengadil.

Begitupun, Suarez yang turut menerima kad kuning pada perlawanan itu atas kekasarannya ke atas Lopez, dijangka dikenakan hukuman selepas terbabit dengan perbalahan di terowong bilik persalinan sejurus perlawanan berakhir yang memaksa campur tangan pengawal keselamatan.

“Ketika semua pemain Espanyol menaiki tangga di terowong menuju ke bilik persalinan, dia (Suarez) menunggu mereka dan membuat konfrontasi dan bercakap dengan mereka beberapa kali.

Luis Suarez ketika bertelagah dengan pemain Espanyol dalam saingan Piala Raja baru-baru ini. – Reuters
Luis Suarez ketika bertelagah dengan pemain Espanyol dalam saingan Piala Raja baru-baru ini. – Reuters

“Saya di sini menunggu kamu, datang ke sini satu pembaziran ruang,” tulis pengadil, Juan Martinez Munuera dalam laporannya.

“Tindakan provokasi itu mencetus perbalahan di antara pemain kedua-dua kelab yang memaksa campur tangan pengawal keselamatan dan staf pengurus kedua-dua kelab.”

Corak permainan kasar yang ditampilkan Espanyol jelas mengecewakan Barca selepas perlawanan terakhir empat hari lalu berakhir dengan keputusan tanpa jaringan.

Suarez sebelum ini pernah menjalani beberapa penggantungan termasuk jangka panjang dan kali terakhir pada 2014 atas kesalahan menggigit pemain Itali, Giorgio Chiellini pada kempen Piala Dunia.