Suarez bantu Reds raih untung

Suarez bantu Reds raih untung

LONDON, 2 Mac (AFP) – Liverpool mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak 60 juta pound pada musim 2014-15, umum kelab itu hari ini, dengan sebahagian besarnya hasil penjualan Luis Suarez ke Barcelona.

Penyerang Uruguay itu meninggalkan Liverpool untuk menyertai Camp Nou dengan perjanjian yang dilaporkan bernilai 75 juta pound pada Julai 2014.

Pengurus baru Reds ketika itu, Brendan Rodgers melabur semula wang tersebut bagi mendapatkan lapan pemain baharu. Keuntungan Liverpool dalam penyata kewangan sebelum ini hanyalah 900,000 pound.

“Kami terus mencatat perkembangan kewangan dan menyaksikan peningkatan dalam pengiklanan, media dan hasil pendapatan hari perlawanan, yang berterusan untuk menambah kekuatan kewangan kami,” kata ketua eksekutifnya, Ian Ayre.

“Tahun lalu kami menyaksikan keuntungan yang kecil buat kali pertama dalam tempoh tujuh tahun, yang turut mencerminkan perkembangan terkini kami.

“Tahun ini keuntungan kami merekodkan peningkatan, sebahagian besarnya hasil penjualan Luis Suarez pada Julai 2014 dan ia sudah dilaburkan semula untuk pembentukan skuad sekarang.”

Media Britain melaporkan pengurus baharu Liverpool Jurgen Klopp, akan diberikan dana secukupnya untuk dibelanjakan pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pengumuman 12 perkongsian baru dan pembukaan 180 kedai runcit baru di seluruh dunia menyaksikan peningkatan pendapatan komersil Liverpool sebanyak 12 peratus kepada 116.3 juta pound dalam 2014-15.

Pendapatan media meningkat daripada 100.9 juta pound kepada 122.6 juta pound, sebahagiannya disebabkan penyertaan dalam Liga Juara-Juara dan berjaya ke separuh akhir Piala FA dan Piala Liga. Kejayaan Liverpool dalam pertandingan piala membantu meningkatkan pendapatan sebanyak harian sebanyak 15.9 peratus kepada 59 juta pound.

Sementara itu, akaun menunjukkan pemilik American Fenway Sports Group (FSG) melupuskan pinjaman 69 juta pound dengan mengubahnya kepada ekuiti. FSG juga melabur 49 juta pound untuk membangunkan tempat utama Anfield yang dijadualkan dibuka semula musim depan.

Liverpool bergelut untuk layak ke Liga Juara-Juara dan tersingkir daripada Piala FA oleh West Ham United bulan lalu.

Mereka mara ke final Piala Liga tetapi tewas penalti kepada Manchester City di Wembley Ahad lalu dan menghadapi Manchester United dalam pusingan 16 terakhir Liga Europa.

ARTIKEL YANG SAMA