Suarez cipta hatrik, Barca benam Eibar 3-1

Suarez cipta hatrik, Barca benam Eibar 3-1

MADRID, 26 Okt (dpa) – Luis Suarez membuat hatrik untuk Barcelona tatkala mereka berhempas pulas semalam untuk menumpaskan pasukan Eibar 3-1, sekali gus kekal sama mata dengan peneraju Sepanyol Real Madrid.

Real dan Barca berada di paras 21 mata, dua mata mengatasi pasukan di tempat ketiga Atletico Madrid, yang semalam menumpaskan Valencia 2-1.

Celta kini berada di tempat keempat dengan 18 mata, disusuli dengan Villarreal 17 mata.

Sama juga dengan Real yang mencatatkan kemenangan 3-1 Sabtu lepas di Celta, Barca menumpaskan Eibar kerana ketajaman mereka di depan pintu gawang – dan kerana penyudah yang teruk penentang mereka.

Anggota skuad Barca masuk ke padang dengan terlebih dahulu mengenakan baju T yang bertulis mesej menyatakan sokongan ke atas bekas kapten dan jurulatih Johan Cruyff, yang didiagnosis dengan barah paru-paru.

Pemain hadapan Barca, Neymar (kiri) mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukannya Luis Suarez yang berjaya merembat masuk gol pada Liga Sepanyol di Stadium Camp Nou di Barcelona pada 25 Oktober 2015. – AFP
Pemain hadapan Barca, Neymar (kiri) mengucapkan tahniah kepada rakan sepasukannya Luis Suarez yang berjaya merembat masuk gol pada Liga Sepanyol di Stadium Camp Nou di Barcelona pada 25 Oktober 2015. – AFP

Borja Baston mengejutkan Camp Nou dengan memberikan Eibar kedudukan peneraju pada minit kesembilan, meraih gol hasil rembatan bola yang terlepas daripada genggaman penjaga gawang Barca, Claudio Bravo yang cuba menyelamatkan sepakan hantaran Dani Garcia.

Eibar membuat tujuh percubaan merembat gol, dengan pertahanan Barca sekali lagi kelihatan mudah dibolosi, tetapi hanya mampu menghasilkan satu gol.

Barca kelihatan kekurangan idea tanpa khidmat Andres Iniesta dan Lionel Messi yang mengalami kecederaan, tetapi Suarez menyamakan kedudukan pada minit ke-21 dengan membuat tandukan tajam hasil hantaran tinggi pemain muda Sadro.

Surez menjadikan kedudukan 2-1 untuk Barca tiga minit di awal separuh masa kedua, selepas menerima hantaran lintang Neymar.

Pasukan Eibar yang ternyata tidak putus semangat, dan kini berada di posisi ketujuh, terus membuat serangan demi serangan tetapi semuanya gagal menghasilkan gol.

Barca kemudian menambah satu lagi jaringan melalui rembatan Suarez yang tidak melepaskan peluang sejurus menerima hantaran daripada Neymar yang mengenai dadanya, sekali gus menjadikan kedudukan mutakhir kemenangan 3-1 untuk Barca.