Suarez paling berbisa di Eropah

Suarez paling berbisa di Eropah

BARCELONA, 29 Jan – Luis Suarez menjadi pemain pertama dari lima liga utama Eropah yang meledak 30 gol selepas dia menjaringkan gol penyamaan buat Barcelona ketika menundukkan Athletic Bilbao, 3-1 pada aksi Copa del Rey, awal pagi semalam.

Kemenangan itu sekali gus membolehkan juara Eropah itu mara ke peringkat separuh akhir selepas turut mencatat kemenangan pada aksi pertama dengan keputusan 2-1.

Meskipun ketinggalan menerusi gol pembukaan Inaki Williams, namun Suarez berjaya menyamakan kedudukan selepas menyambut masuk hantaran rendah daripada Lionel Messi sebelum Gerard Pique dan Neymar melebarkan jurang buat Barcelona pada separuh masa kedua.

Satu gol daripada Suarez sudah cukup membuktikan statusnya selaku penyerang paling berbisa di Eropah dengan 30 gol setakat ini. Ketika ditemui selepas perlawanan terbabit, Suarez berkata, “kami memiliki kelebihan tetapi ia bertambah rumit selepas kami bolos dahulu.

“Kami mempamer aksi kurang menarik pada separuh masa pertama dan persembahan yang berbeza ditunjukkan pada separuh masa kedua membolehkan kami mara ke separuh akhir,” katanya.

Luis Suarez merupakan penjaring terbanyak Eropah setakat ini. – Reuters
Luis Suarez merupakan penjaring terbanyak Eropah setakat ini. – Reuters

Pemain Uruguay itu menjadi nadi buat Barcelona yang ketika ini mendahului carta La Liga selain menjaringkan lima gol dalam dua perlawanan untuk membantu gergasi Sepanyol itu meraih Piala Kelab Dunia.

Bergandingan bersama Neymar, Suarez nyata berjaya menggalas beban selaku peledak ketika Messi diketepikan dua bulan akibat kecederaan, sehingga rata-rata penyokong bola sepak menyifatkan dia wajar disenaraikan dalam senarai pemenang Ballon d’Or.

Penjaring terbanyak Eropah setakat ialah Luis Suarez (Barcelona) 30 gol, Cristiano Ronaldo (Real Madrid) 27 gol, Pierre-Emerick Aubameyang (Dortmund) 27 gol, Aritz Aduriz (Athletic Bilbao) 25 gol, Robert Lewandowski (Bayern Munich) 25 gol. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA