Suarez puas ‘gigit’ Juve

Suarez puas ‘gigit’ Juve

BERLIN, 8 Jun (AFP) – Luis Suarez melengkapkan kebangkitan menakjubkan selepas diaibkan kerana insiden menggigit pada Piala Dunia apabila menjaringkan gol penentuan bagi memastikan kemenangan Barcelona pada final Liga Juara-Juara, awal pagi semalam.

Pemain Uruguay itu menganggap perasaan itu sebagai ‘sukar dipercayai’ manakala jurulatih Barcelona, Luis Enrique menegaskan Suarez mengatasi kebimbangan kelab yang membayar lebih daripada 100 juta euro (RM418 juta) untuk penjaring yang sering dikaitkan dengan kontroversi.

Suarez, 28, membayangi bintang ternama Lionel Messi untuk mucul wira dengan kemenangan 3-1 ke atas Juventus di Olympiastadion, Berlin.

Mengakhiri perjuangan Juventus, Suarez bertindak apabila Gianluigi Buffon menampan percubaan Messi pada minit ke-68 untuk meledak bola tepat ke gawang sebelum melompat melepasi papan iklan dan menari kegembiraan.

“Ia sukar dipercayai, sungguh unik. Anda perlu menderita untuk memenangi semua trofi ini,” katanya.

Luis Suarez menjaringkan gol semasa menentang Juventus untuk final Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpik Berlin kelmarin. – AFP
Luis Suarez menjaringkan gol semasa menentang Juventus untuk final Liga Juara-Juara Eropah di Stadium Olimpik Berlin kelmarin. – AFP

“Saya rasa mereka terus mengasak selepas jaringan penyamaan tapi kami mempunyai pemain yang mampu mengubah keputusan. Kami menempuhi perlawanan demi perlawanan dan mencapai semua matlamat.

“Perkara terbaik mengenai pasukan ini adalah semangat serta kesepakatan dibentuk sejak awal musim.”

Suarez digantung empat bulan selepas menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini sewaktu Piala Dunia di Brazil tahun lalu, kali ketiga dia menggigit pemain lawan sepanjang karier yang penuh kontroversi.

Chiellini adalah nadi pertahanan Juventus tetapi kecederaan ketika latihan minggu lalu menghalang pertemuan semula dengan Suarez. Bagaimanapun dia sudah memaafkan Suarez dan jaringan Suarez musim ini membuatkan peminat terlupa gigitan di bahu Chiellini.

ARTIKEL YANG SAMA