Suarez rindu Anfield

Suarez rindu Anfield

BARCELONA, 27 Jan – Ketika bercakap mengenai potensi untuk kembali ke Liverpool, Luis Suarez menegaskan dia hanya akan kembali Liga Perdana Inggeris untuk bersama bekas pasukannya itu.

Penyerang berusia 29 tahun itu meninggalkan Anfield untuk ke Barcelona pada 2014 dan mencuri tumpuan dalam musim pertamanya di Sepanyol dengan membantu gergasi La Liga itu meraih gelaran treble pada kempen lalu.

Suarez yang juga bekas bintang Ajax, meneruskan prestasi cemerlangnya pada kempen kali ini dengan menjaringkan 23 gol dalam 24 perlawanan tatkala Barca memburu kejayaan sama.

Bagaimanapun, penyerang Uruguay itu membayangkan kemungkinan untuk kembali berhijrah ke England, namun dengan syarat hanya kembali beraksi buat bekas pasukan kesayangannya itu.

“Anda tidak tahu apa yang akan berlaku pada masa depan,” katanya dalam sesi temu bual bersama ESPN. “Jika saya pulang ke England, saya akan beraksi untuk Liverpool, bukan untuk mana-mana pasukan lain.”

Suarez masih merindui Anfield dan jika berpeluang kembali ke England, dia hanya mahu bersama Liverpool. – Reuters
Suarez masih merindui Anfield dan jika berpeluang kembali ke England, dia hanya mahu bersama Liverpool. – Reuters

Suarez mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas peminatnya dan mengakui hubungan dengan penyokong Liverpool mungkin memainkan peranan besar dalam memutuskan langkah seterusnya dalam karier.

“Saya merindui peminat di sana,” tambahnya. “Suasana di Anfield sangat luar biasa dan menakjubkan.

“Semua orang yang pernah beraksi untuk Liverpool sedar betapa pentingnya penyokong – dan mereka tahu mereka sentiasa berada di dalam hati saya.”

Sepanjang dua tahun setengah di Anfield, Suarez muncul sebagai pemain kegemaran penyokong apabila dia membentuk gandingan berbahaya bersama bekas rakan sepasukan Daniel Sturridge dan Raheem Sterling. – Agensi