Suarez tunjuk taring

Suarez tunjuk taring

MADRID, 24 Ogos (Reuters) – Barcelona memulakan usaha mereka bagi menjulang gelaran La Liga keenam dalam tempoh lapan tahun dengan kemenangan apabila Luis Suarez menyudahkan voli sejurus selepas separuh masa pertama untuk mencatatkan kemenangan 1-0 di Athletic Bilbao semalam.

Kemenangan pasukan juara Sepanyol dan Eropah itu di San Mames, di mana Lionel Messi menyaksikan sepakan penaltinya diselamatkan, adalah balas dendam yang menarik bagi Barca berikutan kekalahan mereka menerusi agregat 5-1 kepada Bilbao dalam Piala Super Sepanyol bulan ini.

Ia hadir pada kedudukan yang sukar, ketika pemain tengah, Sergio Busquets dan pemain pertahanan Dani Alvez mengalami kecederaan yang menamatkan persaingan mereka dalam perlawanan itu.

Bilbao yang beraksi secara tersusun dan memberikan tekanan jelas menyukarkan Barca pada peringkat awal sebelum Suarez dijatuhkan oleh Gorka Elustondo dalam kawasan penalti pada minit ke-30 dan Messi mengambil sepakan.

Penjaga gol Bilbao, Gorka Iraizoz berjaya menyelamatkan sepakan, menjadi pemain kedua selepas Diego Alves dari Valencia untuk menyelamatkan sepakan penalti dari Messi dan pemain penyerang Real Madrid, Cristiano Ronaldo.

Iniesta (kanan) berebut bola dengan pemain Athletic Bilbao. – AFP
Iniesta (kanan) berebut bola dengan pemain Athletic Bilbao. – AFP

Ia adalah kegagalan sepakan penalti ke 14 Messi bagi Barca dalam 63 percubaan kapten pasukan Argentina itu.

Barca berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-54 apabila Suarez mendapatkan ruang dalam kawasan penalti dan melepaskan voli kencang ke gawang setelah mendapatkan bola hantaran dari Jordi Alba.

Sergio Roberto, yang mencatatkan permainan cemerlang di pertahanan selepas menggantikan Alves pada minit ke-19, melepaskan rembatan yang mengenai tiang gol sebelum jurulatih Barca, Luis Enrique membuat satu lagi pertukaran apabila Busquets dilihat mengalami kecederaan buku lali setelah perlanggaran bersama pemain penyerang Bilbao, Aritz Audriz.

Pemain antarabangsa Sepanyol itu diusung keluar walaupun jurulatihnya kemudian berkata sama ada kecederaannya, mahu pun Alves yang kelihatan kekejangan otot groin, dilihat serius.

“Kami tahu bahawa perlawanan seperti ini memberikan kami kekuatan dalam usaha kami untuk memenangi La Liga,” Suarez memberitahu televisyen Sepanyol.

“Kami tahu mereka begitu sukar, pesaing yang kuat,” tambah pemain penyerang Uruguay itu.

ARTIKEL YANG SAMA