Suasana Bandar Brunei suatu ketika dahulu

Oleh Haji Mohd Daud Abdul Rahman

 

BANYAK kenangan dan sejarah lama sudah jauh berlalu meninggalkan kita yang kini hanya tinggal menjadi ristaan. Penulis masih ingat suasana ibu kota, Bandar Brunei pada zaman dahulu yang masih segar dalam ingatan.

Pada ketika itu, masyarakat tinggal jauh dari bandar, terutamanya masyarakat di Kampung Lamunin, Sengkurong, Jerudong, Kilanas dan lainnya merasa sukar untuk turun ke bandar.

Mereka ini biasanya datang ke Bandar Brunei menaiki bas seawal pagi lagi dengan membawa hasil jualan mereka. Antara barangan yang dijual pada masa itu ialah buah-buahan, sayur-sayuran, kuih-muih tempatan seperti kelupis beras kebun, wajid, tapai dan bermacam-macam lagi. Manakala ubat-ubatan asli puak Kedayan juga turut dijual di sana.

Suasana Bandar Brunei pada tahun 1967.
Kawasan berhadapan Kampung Sultan Lama pada ketika itu telah menjadi tumpuan pengunjung untuk membeli barang-barangan segar seperti sayur-sayuran.
Bas yang membawa penumpang dari Kampung Lamunin ke Bandar Brunei pada tahun 1960.
Suasana gerai yang berada berdekatan tebing turun naik penduduk Kampong Ayer pada ketika itu.
Bas yang membawa penumpang dari Kampung Sengkurong, Limau Manis dan Kilanas menuju Bandar Brunei pada tahun 1960.

Tempat berjaja masyarakat pada ketika itu adalah di kawasan lapang Panggung Borneo berhadapan dengan Kampung Sultan Lama selain daripada Pasar Tamu Hujung Minggu. Bagi masyarakat Cina pula, mereka turut berniaga aiskrim dan mangkuk. Manakala cendol asli Haji Matali juga terkenal pada ketika itu dan sentiasa laris serta mendapat sambutan.

Mereka yang berjaja pada hari Jumaat di Tamu Hujung Minggu pada ketika itu akan dimaklumkan lebih awal di mana mereka hanya dibenarkan berniaga dari pukul 6 pagi hingga 10 pagi bagi menunaikan Sembahyang Fardu Jumaat.