Suasana Hari Raya meriahkan ‘KL Car Free Morning’

Suasana Hari Raya meriahkan ‘KL Car Free Morning’

KUALA LUMPUR, 17 Julai – Suasana hari raya yang masih terasa terserlah pada acara ‘KL Car Free Morning’ hari ini apabila beberapa peserta memilih untuk menggayakan pakaian tradisional untuk menambah keceriaan program riadah bersama keluarga itu di ibu kota.

Kalangan peserta yang ditemui Bernama di Jalan Raja Laut di sini berpendapat di samping mengamalkan gaya hidup sihat, berpakaian tradisional turut dapat menunjukkan budaya harmoni dalam kalangan masyarakat Malaysia kepada pelancong asing menerusi program berkenaan.

Penjawat awam Mohd Azii Mat Desa, 40, memilih untuk mengenakan baju Melayu hijau untuk menyertai aktiviti berbasikal bersama-sama dengan dua orang anaknya dalam program ini kerana masih dalam suasana berhari raya.

“Setiap bulan mesti saya akan menyertai aktiviti berbasikal di ‘KL Car Free Morning’ bersama-sama anak, cuma kebetulan kali ini diadakan pada bulan Syawal jadi mahu mewujudkan suasana hari raya ketika bersukan,” katanya kepada Bernama. – Bernama