Subsidiari Sapurakencana Group raih kontrak, lanjutan bernilai AS$72 juta

Subsidiari Sapurakencana Group raih kontrak, lanjutan bernilai AS$72 juta

KUALA LUMPUR, 7 Dis – Anak syarikat milik penuh SapuraKencana Group meraih kontrak dan lanjutan kontrak daripada syarikat tempatan dan asing bernilai AS$72 juta (US$1 = RM4.2).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, SapuraKencana Petroleum Bhd (SK Petro) berkata Roc Oil (Sarawak) Sdn Bhd menganugerahkan kontrak kepada SapuraKencana HL Sdn Bhd bagi membekalkan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk pengeluaran dan penggerudian serentak (SIPROD) di Projek D35DP-B.

Kontrak yang dijangka dimulakan bulan ini, berkemungkinan siap pada suku pertama 2016, katanya.

Untuk kontrak antarabangsa, SK Petro berkata SapuraKencana TL Offshore (SKTLO) Sdn Bhd memperoleh subkontrak daripada kontraktor utama, L&T Hydrocarbon Engineering Ltd, bagi pembangunan tambahan Projek Vasai East di India.

“Skop kerja SKTLO di bawah subkontrak itu ialah memasang struktur dan saluran paip serta kerja-kerja dasar laut lain di Vasai East yang terletak di Laut Arab, kira-kira 78 kilometer luar pesisir Mumbai.

“Kerja-kerja dijangka siap pada Mac 2016,” katanya.

Sementara itu, kontrak penggerudian menggunakan ‘SKD Alliance’ untuk Foxtrot International LDC di Côte d’Ivoire yang dijangka selesai pada Ogos 2016, dilanjutkan lima bulan lagi, katanya.

“Selain itu, Foxtrot masih mengekalkan opsyen untuk melanjutkan kontrak menerusi tiga telaga tambahan yang jika dilaksanakan akan memastikan SKD Alliance terikat dengan kontrak sehingga suku terakhir 2016,” kata SK Petro.

SK Petro berkata kontrak-kontrak yang disebut akan menyumbang secara positif kepada pendapatan SapuraKencana Group terutama untuk tahun kewangan berakhir 31 Jan 2016 dan tahun-tahun kewangan seterusnya bagi kontrak-kontrak yang melangkaui 31 Jan 2016. – Bernama