Subur amalan untuk akhirat

Subur amalan untuk akhirat

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 29 Jan – Umat Islam hendaklah memilih jalan kehidupan yang digariskan oleh Al-Quran dan hadis kerana tujuan kita adalah alam kekal iaitu akhirat yang memerlukan kita melipatgandakan amal kebajikan semasa hidup di dunia ini sementelah lagi dunia ini umpama tempat bercucuk tanam, hasilnya akan kita nikmati di akhirat kelak.

Amal kebajikan itu termasuklah menunaikan sembahyang, berpuasa, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji, bersedekah dan sebagainya. Begitu juga dengan rutin harian bagi memenuhi kehidupan seperti menuntut ilmu, bekerja dan berkhidmat kepada keluarga, jiran, masyarakat dan lain-lain.

Khatib dalam Khutbah Jumaat hari ini menekankan mengenai amalan kita di dunia untuk akhirat yang kekal abadi yang menurutnya sama ada baik atau buruk, akan dibentangkan semuanya di akhirat kelak, tiada yang terkecuali meskipun sekecil zarah.

Ketika itu, umat Islam akan melihat segala amalan semasa hidup dalam kitab-kitab amal, ada yang berpahala ada yang berdosa. Mereka yang berdosa akan merasa takut dengan keadaan demikian.

Menurut khatib lagi, bagi menghindarinya, maka di dunia ini kita dapat mengelak daripada tergolong dalam kemuflisan akhirat nanti. Namun siapakah yang dikatakan muflis ini?

Orang yang muflis di akhirat ini nanti merupakan mereka yang melakukan kebaikan dan kebajikan tetapi dalam masa yang sama melakukan kejahatan dan dosa sesama manusia. Maka ganjaran pahala kebaikan diambil oleh Allah S.W.T untuk membayar segala hutang kejahatan semasa hidup di dunia ini, ujar khatib.

Asalnya orang muflis di akhirat ini merupakan mereka yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, segala pahala mereka habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi.

Maka mereka adalah golongan yang rugi kerana kebaikan dan ganjaran pahala yang dikumpulkan akhirnya menjadi tukaran yang perlu dibayar terhadap kesalahan yang telah dilakukannya terhadap orang lain.

Khatib mengingatkan mereka yang melakukan ibadah yang banyak tetapi dalam masa yang sama masih melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada orang lain, mereka tidak terjamin azabnya daripada Allah S.W.T.

Menurut khatib lagi, dalam kehidupan di dunia, manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan ini boleh mengundang dosa jika ia menyentuh perlanggaran hak berkaitan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain.

Apabila berlaku kesalahan berkaitan dengan manusia, maka wajib bagi kita meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika tidak sempat memohon maaf semasa hidup di dunia, maka dosa-dosa akan dibayar dengan pahala-pahalanya di akhirat kepada orang yang tidak sempat dia meminta maaf di dunia. Disebabkan itulah, pahala akan berkurangan sehinggalah kita miskin di akhirat kelak. Miskin di dunia masih boleh dibantu, namun miskin di akhirat tidak sesiapa yang akan menghalang daripada azab neraka Allah S.W.T, kata khatib lagi.

“Dalam banyak anggota badan, lidahlah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Dosa lidah ini boleh membawa kemuflisan di akhirat kelak terutamanya akibat pendustaan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat, berbicara kesat, kasar dan penuh kesombongan,” jelas Khatib.

Untuk itu, khatib menyeru agar kita menjaga lidah daripada menuturkan kata-kata yang boleh membawa keburukan kepada hubungan sesama manusia.

Sesungguhnya manusia sering kali menginginkan kekayaan di dunia, begitu juga di akhirat yang amat diharap-harapkan oleh orang-orang beriman kerana inilah kekayaan yang kekal abadi. Dengan kekayaan inilah kita akan mendapat rahmat dan nikmat daripada Allah S.W.T di akhirat kelak, menurut khatib lagi.

“Sama-samalah kita muhasabah diri adakah kita sudah mencukupi amalan untuk bertemu dengan Allah S.W.T di akhirat kelak,” akhiri khatib.

ARTIKEL YANG SAMA