Sudah ditemui

Sudah ditemui

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mei – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di hutan Simpang 217-36 Kampung Tungku Katok, semalam, telah berjaya ditemui dalam keadaan selamat awal pagi tadi.

Lelaki tempatan berumur sekitar 40-an itu dilaporkan hilang oleh isterinya sebaik menerima teks ringkas sekitar jam 5 petang kelmarin daripada suaminya yang mengatakan beliau telah sesat di hutan Kampung Tungku Katok.

Laporan dibuat kepada pihak bomba sekitar pukul 10 malam, dan Pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat telah mengerahkan sebuah jentera bomba dan enam orang anggota dari cawangan Beribi ke tempat kejadian bagi gerakan mencari.

Jabatan Bomba dan Penyelamat melalui Unit Perhubungan Awam melaporkan, gerakan mencari dilaksanakan dengan kerjasama agensi-agensi lain seperti Unit Gurka, K9, dan Pasukan Polis Hutan.

Menurut penduduk kampung, operasi mencari bermula jam 6 petang lagi, dan terpaksa dihentikan pada jam 4 subuh.

Setelah pencarian selama 13 jam, pada pukul 6:16 pagi tadi, lelaki berkenaan berjaya keluar dari hutan dengan sendirinya di Kawasan ‘Nanas Sanggul’ dalam keadaan selamat tanpa kecederaan.

Beliau pada awalnya memasuki hutan Kampung Tungku Katok dengan niat beriadah memandangkan kawasan berkenaan memang selalu dimasuki oleh mereka yang gemar menaiki bukit.

Unit Paramedik yang ada di kawasan berkenaan membuat pemeriksaan sebelum membenarkan beliau pulang bersama keluarganya.

ARTIKEL YANG SAMA