Sudan pulih hubungan dengan Barat

Sudan pulih hubungan dengan Barat

OMDURMAN, Sudan, 3 Jun (AFP) – Presiden Sudan Omar al-Bashir semalam berikrar di majlis mengangkat sumpahnya sebagai presiden untuk tempoh lima tahun lagi, akan membuka “lembaran baru”, sambil berkata beliau akan membawa keamanan dan memulihkan hubungan dengan Barat.

Bashir, yang dikehendaki oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berhubung dakwaan jenayah perang, memenangi pilihan raya pada April lepas dengan meraih lebih 94 peratus undian di tengah-tengah pemboikotan oleh pembangkang dengan kadar rendah mereka yang keluar mengundi.

“Program kami bagi tempoh lima tahun akan datang akan member tumpuan kepada masa depan, dan kita akan membuak lembaran baru,” kata Bashir selepas mengangkat sumpah di Dewan Perhimpunan di bandar kembar Omdurman di Khartoum.

Beliau turut membubarkan Kabinet, lapor agensi berita SUNA lewat petang semalam, sekali gus member laluan bagi pembentukan kerajaan baru.

Dalam ucapannya, Bashir berkata beliau akan menangani masalah domestik, termasuk ekonomi, dan membawa keamanan yang berkekalan ke seluruh wilayah Sudan.

Presiden Omar al-Bashir (kanan) meletakkan tangannya ke atas kitab suci Al-Quran ketika mengangkat sumpah untuk terus memerintah bagi tempoh lima tahun lagi di Parlimen di Khartoum. – AFP
Presiden Omar al-Bashir (kanan) meletakkan tangannya ke atas kitab suci Al-Quran ketika mengangkat sumpah untuk terus memerintah bagi tempoh lima tahun lagi di Parlimen di Khartoum. – AFP

Bashir yang berpakaian tradisional Sudan turut berikrar membawa “keamanan yang menyeluruh.”

Kumpulan pemberontak menentang pasukan tenteranya di wilayah barat Darfur, selain di Kordofan Selatan dan negeri-negeri Sungai Nil Biru.

Tahun lepas, Bashir mengumumkan dialog kebangsaan bertujuan menamatkan konflik yang melanda di sebahagian wilayah negara itu serta berusaha menyelesaikan kemelesetan ekonomi negara.