Sudan S hampir pasti sertai IOC

Sudan S hampir pasti sertai IOC

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) – Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mencadangkan agar Sudan Selatan diberi pengiktirafan sebagai anggota Olimpik semasa mesyuarat pertamanya hari ini.

“Pada hari ini lembaga eksekutif meluluskan untuk mengemukakan kepada sesi (Sesi IOC) perakuan NOC (Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan) Sudan Selatan,” kata Pengarah Komunikasi IOC Mark Adams pada taklimat media di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Adams berkata anggota-anggota IOC akan mengundi dalam pemilihan pada 2 Ogos ini, sama ada negara berkenaan diterima sebagai anggota baharu IOC atau sebaliknya.

Untuk rekod, pada Sukan Olimpik 2012 di London, pelari maraton Sudan Selatan Guor Marial bertanding sebagai atlet bebas di bawah bendera IOC.

Ditanya sama ada Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat (USOC) memilih bandar raya baru bagi menggantikan Boston dalam membida sebagai tuan rumah Sukan Olimpik 2024, Adams berkata isu itu tidak dibincangkan secara terperinci pada mesyuarat hari ini.

“Ia tidak dibincangkan secara khusus. Bagi kami, ia adalah tentang bidaan oleh Amerika. Saya amat yakin USOC akan memilih bandar raya paling sesuai atau bidaan yang kukuh. Senarai akhir nama bandar raya perlu dikemukakan sebelum 15 Sept,” kata Adams.

Pada hari ini, hanya beberapa jam sebelum mesyuarat Lembaga Eksekutif IOC dirasmikan, USOC membatalkan bidaan oleh Boston untuk menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024 selepas Datuk Bandar Boston menyatakan bandar raya itu tidak mampu menjadi hos temasya sukan berskala besar.

Tarikh akhir bandar raya menyerahkan permohonan mereka menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2024 ialah pada 15 Sept, dengan Hamburg, Paris, Rom dan Budapest sudahpun berbuat demikian.

Kali terakhir Amerika Syarikat menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas ialah di Atlanta pada 1996.

ARTIKEL YANG SAMA