Sudan Selatan anggota IOC ke-206

Sudan Selatan anggota IOC ke-206

KUALA LUMPUR, 3 Ogos (Bernama) – Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) hari ini mengiktiraf Jawatankuasa Olimpik Kebangsaan (NOC) Sudan Selatan sebagai anggota barunya.

Dengan itu, NOC Sudan Selatan menjadi anggota ke-206 badan penyelia sukan antarabangsa itu.

Pengumuman itu dibuat oleh presiden IOC Thomas Bach pada sesi ke-128 badan itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari Ahad.

Penerimaan sebulat suara jawatankuasa olimpik negara itu mendapat tepukan gemuruh daripada anggota-anggota IOC.

Pegawai-pegawai Sudan Selatan kelihatan cukup teruja dan menitiskan air mata.

Berikutan itu, negara berkenaan kini boleh menghantar pasukannya ke Olimpik Rio de Janeiro tahun depan.

“Kami mengalu-alukan anda ke majlis pembukaan Sukan Olimpik Rio de Janeiro (pada 2016). Ini akan meletakkan negara anda dalam peta dunia,” kata Bach ketika membuat pengumuman itu.

Untuk rekod, di Olimpik London 2012, pelari marathon Sudan Selatan Guor Marial bertanding sebagai atlet bebas di bawah bendera IOC.

Kemudian pada sidang akhbar, presiden NOC Sudan Selatan Wilson Deng Kuoirot berkata beliau terharu dengan pengiktirafan itu untuk negaranya.

“Ini satu kebanggaan bagi negara kami dan membenarkan kami menghantar pasukan kami ke Olimpik akan datang pada 2016,” kata Kuoirot.

Walaupun negara itu kini berdepan dengan konflik dalaman, beliau percaya sukan akan menyatukan rakyat dan membawa keamanan dan kestabilan.

“Kami harap ini akan menarik golongan belia kami berentap dan berjuang dalam sukan daripada digunakan untuk bertempur menggunakan senapang,” katanya.