SugarBun rai para pekerjanya

SugarBun rai para pekerjanya

Oleh Mohamad Asyramisyanie

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Okt – Restoran makanan segera, SugarBun meraikan dan menghargai pekerja seluruh organisasinya dalam Majlis Makan Malam Tahunan Syarikat 2015 yang diadakan di Hotel Badi’ah baru-baru ini.

Pengarah Urusan SugarBun Brunei, Chan Fui Meng semasa berucap di majlis itu mengatakan ia merupakan platform mengukuhkan silaturahim dan hubungan erat di antara warga SugarBun dalam semua peringkat.

“Ia juga tanda penghargaan dan pengiktirafan bagi kakitangan selain membuktikan komitmen SugarBun dalam memeduli pekerjanya setelah berusaha gigih bekerja dan berkhidmat membantu syarikat mencapai sasaran yang dihasratkan,” katanya.

Menurutnya lagi, syarikat telah melalui perjalanan yang panjang untuk mencapai tahapnya sekarang dan terus menunjukkan pertumbuhan positif apabila mencatatkan peningkatan pada tahun ini pada 12.2 peratus berbanding tahun lalu.

Di antara kakitangan SugarBun yang menghadiri majlis tersebut.
Di antara kakitangan SugarBun yang menghadiri majlis tersebut.

“Saya yakin ini adalah kerana komitmen, dedikasi dan kerja keras kakitangan dalam tugas mereka dan pada tahun hadapan, SugarBun berharap dapat meneruskan peningkatan ini sekali gus mencapai standard layanan dan hidangan makanan yang berkualiti,” katanya.

Beliau turut menyampaikan anugerah khas kepada kakitangannya antaranya Anugerah Pemandu Terbaik 2015 kepada Agus Heru Kartila dan Fauzan Zhain serta Penghantar Terbaik 2015 kepada Barudin dan Muhammad Yusuf.

Turut menerima anugerah khas dan sijil penghargaan ialah kakitangan yang sudah lama berkhidmat dan menunjukkan prestasi memberangsangkan kepada Irene Sandra Liza, Abang Isnawi dan Alex Paguyo Sison.

Majlis turut diserikan dengan pelbagai persembahan dan aktiviti permainan daripada kakitangan daripada lapan cawangan SugarBun dalam majlis berkonsepkan hitam dan putih itu.

ARTIKEL YANG SAMA