Suhu meningkat tiap tahun

Suhu meningkat tiap tahun

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Mac – Menurut kajian awal yang dibuat oleh Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam, negara ini telah mengalami peningkatan purata suhu tahunan (annual average temperature) sebanyak 0.6 darjah Celsius bagi tempoh bermula tahun 1970 hingga ke 2014.

Menteri Perhubungan, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa bin Haji Sirat (gambar) berkata, dari tahun 2005 hingga 2014, kajian juga menunjukkan trend meningkat bagi jumlah turunan hujan tahunan (annual total rainfall) yang diterima di Negara Brunei Darussalam.

Mengikut rekod Stesen Pencerapan Kaji Cuaca di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, turunan hujan bagi bulan Januari 2009 adalah 977.0 mm.

Jumlah ini, ujar beliau, melebihi tiga kali ganda purata jumlah turunan hujan tahunan sepanjang tempoh 50 tahun sebelumnya.

Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa mengongsikan statistik ini semasa menyampaikan ucapannya pada Majlis Pelancaran Sambutan Hari Kaji Cuaca Sedunia 2016 di Dewan Amar Pahlawan, Bangunan Kementerian Perhubungan, hari ini.

SONY DSC

Terdahulu, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa sejak awal tahun 2016, Negara Brunei Darussalam pada keseluruhannya mengalami keadaan cuaca yang agak kering dan panas.

Keadaan ini, menurut beliau, adalah berkaitan dengan kehadiran Fenomena El-Nino berintensiti kuat di Lautan Pasifik.

“Kita juga perlu mengetahui langkah-langkah yang perlu diambil bagi menangani implikasi dan kesan daripada perubahan iklim. Di sinilah saya melihat Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam dapat memainkan peranannya sebagai autoriti dan juga agensi utama dalam hal ehwal cuaca dan iklim bagi negara kita.”

Sehubungan itu, Yang Berhormat Dato berpuas hati dengan usaha jabatan berkenaan untuk mempertingkat kapasitinya melalui kajian dan usaha sama dengan pelbagai pihak, baik dari dalam mahupun luar negeri.

Dalam hal ini, beliau sangat menghargai penglibatan jabatan itu dalam usaha kerjasama bagi bidang perubahan iklim atau ‘climate change’ untuk menghasilkan senario perubahan iklim bagi rantau Asia Tenggara termasuk Negara Brunei Darussalam.

Usaha sama berkenaan melibatkan perkhidmatan-perkhidmatan kaji cuaca dan hidrologi kebangsaan serta institusi-institusi penyelidikan dari negara-negara ASEAN, termasuk Universiti Brunei Darussalam dan juga Met Office Hadley Centre, United Kingdom.

“Pada masa yang sama, saya juga maklum Jabatan Kaji Cuaca Brunei Darussalam pada masa ini sedang bekerjasama dengan pihak Universiti Brunei Darussalam dalam bidang Model Iklim Berangka atau ‘climate modeling’, yang mana bertujuan untuk menghasilkan jangkaan dan juga senario perubahan iklim bagi negara ini.”

Dengan adanya hasil daripada kajian-kajian ini nanti, beliau berharap ia akan dapat membantu agensi-agensi yang berkepentingan untuk membuat perancangan, dasar dan sebarang tindakan dalam menangani kesan perubahan iklim.

“Seterusnya, dengan adanya maklumat perubahan iklim dan ramalan cuaca bagi jangka masa panjang ini nanti, pelaksanaan projek serta penyaluran sumber akan dapat dirancang dengan lebih teratur dan lebih berpandangan jauh.”

Turut hadir pada majlis pelancaran itu ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Perhubungan, Haji Azhar bin Haji Ahmad, para pengarah bahagian, ketua jabatan dan pegawai-pegawai kanan Kementerian Perhubungan dan jabatan-jabatan di bawahnya serta para jemputan khas.

Pada majlis itu, Yang Berhormat Dato Paduka Haji Mustappa turut melancarkan peraduan fotografi bertema ‘Cuaca dan Impaknya di Negara Kita’ yang dibukakan untuk penyertaan orang ramai mulai hari ini sehingga 23 Mei 2016.

Peraduan fotografi ini dianjurkan dengan kerjasama Persatuan Jurufoto Brunei Darussalam dan Pertubuhan Fotografi Negara Brunei Darussalam.

Selepas pelancaran, tetamu kehormat dan para jemputan dipelawa untuk menyaksikan pameran galeri fotografi sempena Sambutan Hari Kaji Cuaca 2016, yang memperlihatkan koleksi gambar-gambar cuaca.

Pameran juga menampilkan peralatan-peralatan kaji cuaca dan maklumat perkhidmatan-perkhidmatan yang disediakan oleh BDMD.

Pameran juga disertai oleh Radio Televisyen Brunei (RTB), yang memperlihatkan koleksi video cuaca di Negara Brunei Darussalam.

Setiap tahun, sambutan memfokuskan kepada satu tema semasa yang menarik dan tema tahun ini adalah ’Lebih Panas, Lebih Kering, Lebih Lembab Hadapi Masa Depan’ atau Hotter, Drier, Wetter Face the Future yang menunjukkan kepentingan WMO dan Perkhidmatan Kaji Cuaca dan Hidrologi Kebangsaan bagi membantu membina masyarakat yang berdaya tahan dalam menangani perubahan iklim dan cuaca.

Hari Kaji Cuaca Sedunia yang disambut pada setiap 23 Mac adalah untuk memperingati berkuat kuasanya Pertubuhan Kaji Cuaca Sedunia (WMO) pada 23 Mac 1950 dan juga bagi menghargai sumbangan penting yang diberikan oleh Perkhidmatan Kaji Cuaca dan Hidrologi Kebangsaan, di bawah kepimpinan WMO untuk keselamatan dan kesejahteraan masyarakat di seluruh dunia.

ARTIKEL YANG SAMA