SUKA bantu urus sumbangan pakaian

SUKA bantu urus sumbangan pakaian

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 29 Jan – Bagi mengelakkan pembaziran pakaian dan dikhuatiri belum sampai kepada pihak-pihak yang memerlukan pakaian, Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA) telah membuka Pusat Bantuan Berbentuk Pakaian kepada yang memerlukan. Ahli Urus Setia SUKA, Haji Saiful Bahri bin Haji Umar Ali ketika ditemui, hari ini, mengakui bahawa terdapat sumbangan pakaian yang didermakan kepada orang-orang yang memerlukan tidak sepadan dengan si pemakainya.

Oleh itu, beliau mengalu-alukan mereka yang memerlukan terutama mangsa-mangsa kebakaran, orang miskin dan tidak berkeperluan hadir ke pejabat SUKA pada waktu pejabat untuk memilih mana-mana pakaian yang disukai dan mengikut cita rasa mereka.

Sumbangan berupa pakaian itu bukan sahaja tertumpu kepada pakaian seharian sama ada pakaian baru dan yang terpakai bahkan pakaian sekolah, telekung dan pakaian cara Melayu dan baju kurung juga terdapat di Pejabat SUKA.

Majoriti pakaian yang banyak disumbangkan ialah pakaian kanak-kanak dan perempuan, jelas Haji Saiful Bahri.

Ahli-ahli SUKA yang terlibat ketika menguruskan dan mengemas pakaian untuk disumbangkan kepada yang memerlukan.
Ahli-ahli SUKA yang terlibat ketika menguruskan dan mengemas pakaian untuk disumbangkan kepada yang memerlukan.

Pada masa ini, ahli-ahli SUKA masih lagi sibuk mengatur, menilai pakaian yang baik untuk disumbangkan, dibersihkan jika terdapat kekotoran dan seterusnya dibungkus dengan kemas agar pakaian yang disumbangkan itu diterima dengan sebaiknya.

Sumbangan berupa pakaian itu telah pun diterima oleh orang ramai sejak sambutan Sukarelawan Antarabangsa diadakan pada 10 Januari lalu dan sumbangan itu masih lagi diteruskan dan tidak putus-putus diterima daripada masyarakat setempat dan luar daerah.

Tujuan sumbangan yang diadakan ini adalah untuk diberikan kepada masyarakat yang memerlukan yang bukan sahaja tertumpu kepada masyarakat di Daerah Tutong bahkan di negara ini secara amnya.

Urus setia SUKA menasihatkan orang ramai yang tidak memerlukan baju atau yang berkeinginan untuk menyampaikan sumbangan berupa pakaian atau makanan kepada yang memerlukan, adalah dialu-alukan menghantar sumbangan tersebut ke pejabat SUKA di Daerah Tutong pada waktu pejabat.

Orang ramai yang berkeinginan mengetahui lebih lanjut berkenaan perkara tersebut atau yang berkeinginan menyumbangkan pakaian, bolehlah menghubungi Urus Setia SUKA di talian 8865925 atau 8791516; atau hadir ke pejabat SUKA di alamat No.18, Simpang 172, Sungai Basong, Daerah Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA