SUKA ceriakan golongan yang memerlukan

SUKA ceriakan golongan yang memerlukan

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 4 Julai – Sukarelawan Daerah Tutong (SUKA), hari ini, telah mengadakan Penyerahan Sumbangan Pakaian melalui Program Sumbang dan Bantu, Ceriakan Aidilfitri, Bersempena Hari Raya kepada yang memerlukan, di Bangunan Sukarelawan Daerah Tutong, Jalan Sungai Basong, Tutong.

Sumbangan pakaian tersebut merupakan hasil sumbangan orang ramai dan telah pun dibersihkan, dibungkus dan dikemaskan oleh ahli-ahli SUKA agar pakaian yang disumbangkan itu diterima dengan sebaiknya.

Program Sumbang dan Bantu yang diadakan ini adalah berkesinambungan daripada Program Sumbang dan Bantu bagi acara ‘Bantu, Senyum dan Terima Kasih’ yang diadakan di Ruang Legar Hua Ho, Petani Mall Tutong pada awal Jun yang lalu.

Program berbentuk kemasyarakatan itu antara lain bertujuan menyemai rasa kasih sayang dan memupuk rasa prihatin terhadap masyarakat yang memerlukan bantuan.

Selain menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan kesedaran masyarakat tentang konsep kitar semula, ia juga sebagai memupuk sikap budaya berjimat cermat bagi mengelakkan pembaziran.

Kanak-kanak ini setentunya ceria menerima pakaian percuma yang disumbangkan menjelang Aidilfitri.
Kanak-kanak ini setentunya ceria menerima pakaian percuma yang disumbangkan menjelang Aidilfitri.

Program ini turut disokong oleh beberapa agensi kerajaan dalam menjayakannya.

Sumbangan pakaian ini disasarkan kepada penerima-penerima di bawah bantuan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB).

Selain menyumbangkan pakaian kepada yang memerlukan, sumbangan ini turut diagih-agihkan kepada anak-anak istimewa dan terbuka kepada orang ramai dalam sama-sama memberi keceriaan kepada penerimanya.

Program berkebajikan ini adalah salah satu usaha kerjasama yang dikendalikan oleh pihak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dalam membantu pihak kerajaan bagi meringankan bebanan masyarakat yang memerlukan bantuan di negara ini.

Ia juga sebagai inisiatif SUKA dalam mempelbagaikan kaedah pemberian bantuan kepada yang memerlukan secara lebih efektif dan berwawasan, di samping menanam semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat khususnya para belia di negara ini.

ARTIKEL YANG SAMA